BANYAK produk makanan memaparkan FOP untuk tenaga di bahagian depan pek.
BANYAK produk makanan memaparkan FOP untuk tenaga di bahagian depan pek.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


LABEL makanan meliputi jenama, tanda, bahan bergambar atau hal lain yang tertulis mahupun bercetak pada sesuatu bungkusan makanan. Ia bukan sekadar berfungsi sebagai pelengkap hiasan pembungkus makanan, malah mampu membantu orang ramai membuat pilihan pemakanan yang bijak sekiranya mereka mengetahui cara menggunakan maklumat tertera.

Ringkasnya, melalui label makanan, kita boleh membezakan kandungan pemakanan antara pelbagai jenama dan mengetahui yang mana lebih tinggi atau rendah kandungan nutriennya.

Dalam industri makanan, pelabelan dan tuntutan makanan penting bagi melindungi orang awam daripada bahaya kesihatan, penipuan dalam penyediaan, penjualan serta kegunaan sesuatu makanan.

Ia juga memberi faedah kepada industri makanan tempatan untuk memperkembangkan profil produk mereka kepada pengguna, bagi tujuan strategi pemasaran dan meningkatkan peluang memperdagangkan produk ke peringkat antarabangsa.

Walaupun kepentingan label ditekankan dalam kalangan pemain industri berkali-kali, namun di peringkat pengguna pula, ia sering diabaikan. Bahkan majoriti pengguna langsung tidak mengendahkan hal berkaitan label ketika membuat pembelian runcit.

Menurut Pengurus Saintifik dan Pemakanan Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd, Wendy Goh Su Chin, amalan membaca label makanan bukan saja penting untuk mereka yang mempunyai keperluan pemakanan spesifik. Sekiranya tindakan ini dijadikan kebiasaan, ia mungkin membawa manfaat lebih besar, khususnya dalam membentuk tabiat pemakanan sihat.

Ketika ramai individu semakin peka terhadap bagaimana makanan mereka dihasilkan, label makanan membantu memperkasakan pengguna untuk membuat pilihan bijak setiap kali mereka berbelanja. Berikut adalah panduan untuk membantu orang ramai memilih sumber makanan terbaik bagi manfaat seisi keluarga.

1. Ketahui apa yang perlu dilihat terlebih dahulu

Kunci untuk mentafsir label makanan terdapat di Panel Maklumat Pemakanan (NIP). Ia adalah jadual pada label makanan berbungkus yang menyenaraikan jumlah tenaga, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral yang terkandung dalam produk makanan.

Mengetahui jumlah khasiat ini dalam setiap 100 gram (pepejal) atau 100 mililiter (cecair) membolehkan kita untuk membandingkan produk makanan serupa daripada jenama berbeza.

Pengguna yang mementingkan kesihatan akan menggunakan aspek ‘setiap sajian’ sebagai panduan untuk merancang pengambilan hidangan seimbang bagi memenuhi keperluan nutrisi dirinya.

MAKANAN seimbang penting untuk kehidupan berkualiti.
MAKANAN seimbang penting untuk kehidupan berkualiti.

2. Senarai ramuan dalam aturan kandungan

Ramuan yang tersenarai pada label makanan dilakukan mengikut kaedah tertentu. Kebanyakan pihak tidak menyedari bahawa ramuan disenaraikan daripada jumlah tertinggi kandungan ke paling rendah dalam produk berkenaan.

Contohnya, apabila ramuan suatu produk disenaraikan sebagai ‘pepejal susu, kalsium, vitamin A’ ia bermaksud susu pepejal merupakan ramuan utama dengan kandungan tertinggi diikuti kalsium dan seterusnya.

Oleh itu, penting untuk mengetahui perincian sebegini apabila ingin membuat pembelian satu-satu produk bagi memastikan ia tulen. Pengguna juga perlu sedar sesetengah ramuan disenaraikan dengan nama berbeza pada label makanan. Contohnya, gula dilabelkan sebagai gula perang, sukrosa, glukosa dan pepejal sirap jagung.

Jika anda mempunyai alahan terhadap kacang, gandum, telur dan kacang soya, bacalah senarai ramuan pada label makanan untuk mengesan sebarang alergen. Ada masanya sukar untuk mengesan sama ada satu-satu produk itu mengandungi bahan yang menyebabkan kita alah. Sebab itulah label makanan disediakan.

3. Memahami akuan pemakanan

Seorang pengguna bijak dan mementingkan kesihatan lazimnya mengetahui ungkapan berkaitan nutrisi yang sering digunakan dan boleh didapati pada pembungkusan produk.

Perkataan seperti rendah lemak, sumber serat dan rendah kalori sebenarnya mempunyai definisi piawai yang diukur secara spesifik. Produk makanan yang dibungkus perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan dan akuan itu dikawal selia dengan rapi.

Terdapat dua jenis akuan pemakanan yang biasanya digunakan pada bungkusan produk makanan iaitu akuan kandungan nutrien dan fungsi nutrien.

Akuan kandungan nutrien menggambarkan tahap nutrien dalam produk makanan seperti rendah kalori dan rendah lemak. Sementara akuan fungsi nutrien menggambarkan peranan fisiologi nutrien dalam pertumbuhan, perkembangan dan fungsi normal badan. Contohnya, inulin membantu meningkatkan bifidobakteria usus dan membantu menjaga persekitaran usus yang baik.

Namun demikian, akuan yang menghubungkan pengambilan makanan dengan pengurangan risiko pembentukan penyakit adalah tidak dibenarkan. Ia termasuk akuan seperti kalsium mungkin membantu mengurangkan risiko osteoporosis.

AKUAN rendah kalori mempunyai definisi piawai yamg diukur secara spesifik.
AKUAN rendah kalori mempunyai definisi piawai yamg diukur secara spesifik.

4. Logo pilihan lebih sihat

Pelbagai produk mempunyai logo yang menggambarkan ia pilihan lebih sihat dalam kategori produk yang sama. Produk yang menunjukkan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) sudah memenuhi kriteria tertentu yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

HCL bertujuan membantu pengguna mengenal pasti produk makanan lebih sihat dalam kategorinya. Misalnya mungkin terdapat dua roti daripada jenama berbeza, dengan salah satu memaparkan HCL kerana memenuhi kriteria nutrien bersesuaian yang dikhususkan KKM.

Kriteria nutrien berbeza juga ditetapkan untuk produk makanan berbeza. Logo berkenaan memaklumkan pengguna bahawa produk terbabit sudah memenuhi kriteria ditetapkan KKM dan membenarkan mereka membuat perbandingan antara produk.

Ini adalah langkah KKM untuk membantu pengguna membuat pilihan bijak seterusnya menangani peningkatan statistik obesiti, penyakit jantung dan diabetes di Malaysia.

5. Tenaga adalah penting

Banyak produk makanan memaparkan Ikon Pek Hadapan (FOP) untuk tenaga di bahagian depan pek. Pelabelan FOP untuk tenaga adalah petunjuk kandungan kalori (dalam kcal) yang terdapat dalam satu hidangan produk makanan. Kalori dinyatakan dalam bentuk ‘Tenaga’.

Ia juga menyatakan peratusan tenaga yang disumbangkan kepada purata keperluan tenaga harian yang disyorkan (2,000 kcal) bagi orang dewasa. Cara ini membolehkan kita memeriksa dan merancang dengan pantas pengambilan tenaga harian masing-masing. Pada masa sama, ia juga membantu pengguna merancang diet seimbang dengan lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 12:48 PM