LOGO HCL pada bahagian depan pembungkus makanan sebagai petunjuk makanan sihat.
LOGO HCL pada bahagian depan pembungkus makanan sebagai petunjuk makanan sihat.
 LOGO HCL pada bahagian depan pembungkus makanan sebagai petunjuk makanan sihat.
LOGO HCL pada bahagian depan pembungkus makanan sebagai petunjuk makanan sihat.
Zaitie Satibi


Dalam usaha meningkatkan kesedaran pengguna memilih produk makanan dan minuman lebih sihat, Kementerian Kesihatan memperkenalkan inisiatif Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) kepada produk makanan dan minuman yang memenuhi kriteria nutrien ditetapkan.

Dengan adanya logo berkenaan, ia bermaksud produk itu lebih sihat berbanding produk lain dalam kategori yang sama. Selain itu, HCL yang dilancarkan sejak April lalu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan membaca label terutamanya pada pembungkusan produk makanan.

Pelbagai maklumat pemakanan boleh diperoleh sekiranya pengguna tahu membaca label pada produk makanan dengan betul.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemakanan kementerian, Zalma Abdul Razak berkata, kerajaan sentiasa berusaha menjalankan pelbagai program promosi dan advokasi bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pentingnya mengamalkan makan secara sihat.

Ini termasuk memupuk kesedaran pengguna mengenai kepentingan membaca label pada produk makanan dan minuman.

“Bagi memilih produk pemakanan yang menyihatkan, pihak kementerian dengan kerjasama pihak industri makanan dan minuman bawah Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memperkenalkan logo HCL.

“Dengan adanya logo ini pada label hadapan bungkusan produk makanan dan minuman, ia diharap dapat memudahkan pengguna membuat pilihan lebih bijak. Malah, penggunaan logo ini sebagai panduan yang dapat membantu dan memudahkan pengguna untuk mengenal pasti produk yang lebih sihat dalam kategori produk yang sama.

“Pihak kementerian juga membangunkan sistem dalam talian untuk permohonan HCL dan ia dijangka beroperasi September ini. Sistem ini mempercepatkan permohonan logo HCL oleh pihak industri dan ini akan menggalakkan lebih banyak produk makanan dan minuman yang lebih sihat di pasaran,” katanya.

Zalma berkata, usaha ini diharap akan menjadi pemangkin kepada industri makanan dan minuman untuk menghasilkan lebih banyak pilihan produk makanan dan minuman yang lebih sihat di pasaran. Pihak kementerian juga berharap pengenalan logo berkenaan mampu menarik penyertaan lebih banyak industri termasuk kecil dan sederhana, dalam menyediakan persekitaran yang menyokong amalan makan secara sihat.

“Inisiatif lain juga dijalankan sebelum ini bagi mendidik pengguna untuk membaca label dengan betul pada bungkusan produk makanan dan minuman. Melalui Panel Maklumat Pemakanan (NIP), pengguna mengetahui kandungan nutrien yang wajib pada label seperti karbohidrat, protein dan lemak serta kandungan kalori makanan terbabit.

“Pihak kementerian memperkenalkan ikon Pek Hadapan Tenaga (FOP) pada label produk bagi memaklumkan jumlah tenaga yang dibekalkan oleh sesuatu produk dengan lebih jelas. Jumlah kandungan gula turut diwajibkan pada label semua jenis minuman sedia diminum,” katanya.

Terdapat lapan kategori produk makanan dan minuman bagi HCL iaitu bijirin, daging dan ayam, ikan dan produk berasaskan ikan, buah dan sayuran, susu dan produk tenusu, minuman sup, sos dan campuran segera serta lemak dan minyak.

Beliau turut menekankan pengguna untuk mengambil makanan dalam kuantiti sederhana tetapi pelbagai jenis mengikut piramid makanan seimbang dan mengikut waktu makan yang tetap bagi mengelak obesiti yang menjadi punca pelbagai penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Pihak kementerian memperkenalkan Pinggan Sihat Malaysia yang memberi panduan kepada pengguna mengenai kuantiti makanan yang perlu diambil dalam satu pinggan. Dalam pinggan sihat ini, suku pinggan adalah karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin dan ubi, suku pinggan lagi adalah protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang, manakala separuh pinggan adalah sayuran dan buah-buahan.

“Waktu makan juga mesti dalam tempoh yang tetap kerana jika terlepas satu waktu makan, kita akan cenderung untuk makan lebih dalam waktu makan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 12:34 AM