PENGAMBILAN makanan tidak terkawal, berpantang tanpa prosedur betul punca buncit
PENGAMBILAN makanan tidak terkawal, berpantang tanpa prosedur betul punca buncit
Siti Zarinah Sahib


MEMILIKI wajah menawan dan tubuh langsing sememangnya idaman setiap wanita. Realitinya tidak semua kaum Hawa mampu mendapatkannya. Disebabkan gaya hidup tidak sihat, pemakanan dan jarang atau tidak bersenam menyebabkan berlaku kenaikan berat badan ditambah pula jerawat serta jeragat menghantui wanita apabila usia semakin meningkat.

Perkara sama turut dilalui Pengasas dan Pengarah Urusan Vitalicia Sdn Bhd, Aleeya Zailan, 34, yang pernah mengalami kenaikan berat badan 30 kilogram ketika mengandung anak pertama.

“Disebabkan tiada pengalaman kehamilan menyebabkan saya makan apa saja. Bayangkan saya boleh menghabiskan sekotak piza saiz sederhana dan makan 1.5 kilogram (kg) stik wagyu pada satu waktu makan. Saya juga mengambil minuman berkarbonat ketika hamil dan langsung tidak minum air kosong kerana loya. Dengarnya amat menakutkan tetapi inilah realitinya,” katanya tersenyum.

Hasilnya selepas melahirkan cahaya mata pertama, berat badan bertahan pada angka 80kg. Ditambah pula apabila dia tidak dapat berpantang dengan betul menyebabkan selepas setahun perut tetap buncit seperti hamil lima bulan.

Selepas setahun Aleeya hamil semula namun kali ini dia sangat menjaga pemakanan dan berpantang dengan betul terutama mengamalkan amalan bertungku dan berbengkung selain mengelak makanan berlemak, bergoreng dan bergaram.

“Kelahiran anak kedua memang nampak bezanya. Oleh kerana bersalin menerusi pembedahan bahagian perut memang jelas kelihatan. Tetapi saya kerap mengepam susu menyebabkan berat badan turun dengan cepat. Namun begitu untuk mencapai berat ideal sekitar 50kg adalah masih jauh dan sukar dicapai,” katanya.

Bertekad mengamalkan gaya hidup sihat, Aleeya mula bersenam di gimnasium. Namun adakala ia membosankan lalu dia bersama suami menyertai aktiviti berbasikal.

“Ternyata selain mampu membakar kalori sehingga 1,000 kcal berbasikal juga menjadikan minda lebih ceria. Mengayuh basikal bukan sahaja bagus untuk kardiovaskular tetapi juga kecantikan bahagian pinggul dan paha,” katanya yang hamil anak ketiga selepas anak kedua berusia enam tahun.

Tidak seperti kehamilan pertama dan kedua yang dihebahkan awal, untuk kali ini Aleeya hanya memberitahu ibunya selepas kandungan mencecah lima bulan.

“Ini saya lakukan kerana tidak mahu mereka berprasangka dan meminta saya menghentikan senaman di gimnasium dan berbasikal. Pada usia kehamilan lapan bulan saya masih bersenam selepas mendapat nasihat doktor. Kebaikannya saya tidak cepat letih malah bayi membesar dengan sihat,” katanya.

Menurut Aleeya, ketika berpantang dia langsung tidak mengambil garam, gula dan perisa. Hasilnya berat badan turun 10kg dalam masa dua minggu. Malah selepas si kecil berusia setahun, Aleeya mampu memiliki berat badan 50kg.

ALEEYA bersama suami dan tiga anak mereka.
ALEEYA bersama suami dan tiga anak mereka.

GEMAR MAKAN SAYUR DAN BUAH

Aleeya yang juga pengasas produk makanan tambahan Vitalicia Supermodel Glow, mengakui setiap wanita perlu memahami dan mengetahui kandungan produk yang diambil sama ada untuk kulit mahupun tubuh. Misalnya mengapa produk pelangsingan badan berbahaya dan produk pencerah kulit yang memberikan kesan dengan cepat mengandungi bahan terlarang.

“Wanita perlu ambil tahu setiap bahan yang masuk ke dalam tubuh mereka bagi mengelak kesan sampingan. Saya turut mengamalkan makanan tambahan dengan mengambil produk berkualiti yang ada kajian di makmal,” katanya.

Dia yang turut berhadapan masalah jerawat selepas melahirkan anak pertama terpaksa mencuba pelbagai rawatan untuk menghilangkannya. Namun pengambilan vitamin membantu mengurangkan parut pada kulit.

Selain itu anak sulung empat beradik ini turut mengamalkan sayuran mentah dan ulam sejak remaja. Dia juga mengelak mengambil kulit ayam serta makan organ dalaman kerana tidak bagus untuk kesihatan.

“Nenek turut memberi petua supaya membiarkan muka dibasahi air selepas mencuci wajah. Ini supaya kulit tidak dimamah usia dan kekal berseri. Sejak remaja saya mengamalkannya sehingga sekarang,” katanya.

Memiliki kepakaran dalam bidang masakan dan pernah terbabit dalam perniagaan makanan, Aleeya turut mengehadkan pengambilan sarapan, tengah hari dan malam.

“Untuk sarapan biasanya saya ambil buah-buahan, sandwic atau dua biji telur. Saya akan makan dalam kuantiti yang banyak kerana mahu mengurangkan kuantiti makanan ketika makan tengah hari. Malam pula saya hanya makan salad dan buah-buahan. Namun sekali-sekala saya ambil juga makanan segera serta minuman manis. Tetapi pastikan bersenam untuk membakar kalori.

“Namun sejak saya disahkan mengalami masalah cakera teranjak, doktor tidak membenarkan saya membuat sebarang senaman sehingga tubuh saya kembali pulih,” katanya yang perlu menjalani fisioterapi setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:30 AM