GADIS dan solekan sememangnya tidak boleh dipisahkan.
Baik hanya untuk bersantai atau majlis yang perlu disertai, pasti ada sahaja tema solekan ingin ditampilkan.
Begitupun, jika mengenakan solekan untuk sebelah siang, jurusolek berpengalaman, Aidawati Abdul Hamid menyarankan supaya tidak melupakan pelembap yang sesuai untuk kulit.
Selain itu, penyamar noda juga perlu disapu pada wajah bagi menyembunyikan cela.
"Tidak kira solekan untuk gadis muda atau wanita berusia, asas solekan adalah pemilihan bedak asas yang betul dan sesuai dengan kulit.
"Contohnya, bagi gadis berkulit cerah, bedak asas rona medium atau kuning langsat paling sesuai dijadikan pilihan," katanya.
Menurut Aidawati, wanita muda gemar mencuba pelbagai jenis solekan dan rona terutama yang hangat di pasaran.
Kata Aidawati, tidak salah untuk mencuba, tetapi biar solekan itu sesuai dengan usia, lebih-lebih lagi pakaian yang digayakan.
Katanya, untuk tampil ringkas dengan fesyen kasual misalnya, boleh memberi tumpuan kepada solekan di kawasan mata.
"Sapukan pembayang mata daripada rona yang tidak terlalu terang dan jangan ketinggalan aliskan maskara serta penggaris mata untuk menaikkan lagi seri solekan.
"Bagi penampilan lebih memukau, sapukan pemerah pipi rona samar, oleskan gincu bibir rona yang sesuai dan akhiri solekan dengan pelembap atau pengilat bibir.
"Solekan kasual untuk siang tidak terlalu rumit dan ia boleh disiapkan dalam masa 40 minit sahaja," katanya.
Berikut antara langkah demi langkah contoh solekan untuk si gadis yang boleh diikuti.
Aidawati berkata, solekan berkenaan sesuai untuk gadis yang berkulit cerah bagi menghadiri program kasual atau bersantai bersama teman mahupun yang tersayang pada sebelah siang. Selamat mencuba!