USIA muda tidak menghalang Wani mencipta nama dalam dunia kosmetik.
USIA muda tidak menghalang Wani mencipta nama dalam dunia kosmetik.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Ketika gadis seawal usia 20-an baru bertatih mencari ruang menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, berbeza dengan figura ini. Pada usia itu, dia sudah pun didedahkan dengan dunia perniagaan yang penuh pancaroba.

Bergelar Pengarah Eksekutif Naturalife Solution Sdn Bhd pada usia 20 tahun tentunya memberikan pengalaman berbeza kepada wanita kelahiran Selangor ini.

Di saat remaja lain masih tercari-cari kerjaya atau sedang mengikuti pengajian ketika itu, dia terpaksa memikul tanggungjawab besar menerajui perniagaan.

Semuanya bermula ketika Ili Zawani Ismail, 32, yang mesra disapa Wani sedang menduduki pengajian tahun akhir jurusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

Bapa memintanya menerajui syarikat yang menghasilkan minyak wangi, namun ia tidak semudah disangka.

"Pada mulanya, saya tertekan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri apatah lagi tidak mempunyai pengalaman dan ilmu dalam perniagaan.

"Saya sebenarnya ada matlamat sendiri selepas tamat belajar iaitu mahu bekerja di syarikat korporat. Ketika peperiksaan akhir bapa pula mahu saya uruskan syarikat sedangkan saya tidak tahu nak bermula dari mana.

"Awalnya memang saya ada perasaan marah, kerap menangis dan pada ibu tempat saya mengadu. Bapa tiada dalam syarikat itu untuk membantu kerana semuanya diserahkan pada saya, jadi saya minta nasihat perniagaan daripada rakan baik bapa.

"Ada satu nasihat daripada mereka yang membuatkan saya nekad menyahut cabaran dan membuka minda untuk membuktikan diri saya mampu melakukannya. Alhamdulillah hasilnya dapat dilihat kini selepas pelbagai cabaran dilalui," katanya.

Mengakui industri minyak wangi bukan 'jiwanya,' Ili Zawani merasakan dia perlu melakukan sesuatu untuk kepuasan dirinya dalam perniagaan.

Percaya wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan Universiti Oxford Brookes ini mengakui keputusan menceburi perniagaan kosmetik bermula selepas mengikuti lawatan di sebuah ekspo kecantikan. Dari situ dia mula tertarik dengan produk FCC kerana berasakan begitu dekat di hati.

Apa yang membuatkannya yakin adalah pada kualiti produk dan harga yang mampu dimiliki semua. Lebih penting dan menambah keyakinan kerana FCC mempunyai dua sijil halal antarabangsa.

Tidak terhenti di situ, Ili Zawani turut melawat kilang kosmetik FCC di Istanbul, Turki dan ternyata penghasilan menggunakan teknologi tertinggi, sistematik dan bersih adalah antara ciri yang menyebabkan dia tidak menoleh ke belakang untuk menceburi perniagaan ini.

WANI dan Mohd Aminolrasyid berganding bahu meluaskan syarikat.
WANI dan Mohd Aminolrasyid berganding bahu meluaskan syarikat.

Selepas bersetuju membawa produk ini ke Malaysia, cabaran pertama yang terpaksa dihadapi adalah meyakinkan diri yang dia mampu menggalas tanggungjawab diberi.

Sebagai usahawan muda, Ili Zawani banyak belajar berkenaan proses mengimport produk, mengatur masa kerana zon waktu yang berbeza dengan pengeluar di Istanbul, perlu memahami permintaan pasaran, warna yang bersesuaian dengan wanita Asia dan pengurusan sumber manusia.

Walaupun pernah berdepan cabaran apabila isu nama jenama itu bersamaan ejaan dengan farmasi menjual ubatan dan penjualan terpaksa dihentikan sementara, semuanya kembali pulih apabila menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata sepakat dicapai dan kini produk ini dikenali sebagai FCC iaitu singkatan dari Farmasi Colour Cosmetics.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga tidak gentar pada persaingan dan menganggap ia lumrah dalam perniagaan. Baginya persaingan satu tekanan yang sihat kerana akan menyebabkan individu berusaha menjadi lebih baik dan memperbaiki kelemahan diri.

Meskipun syarikat yang diusahakannya sudah bermula sebelum dia mendirikan rumah tangga, bagi Ili Zawani kehadiran suaminya, Mohd Aminolrasyid Mohd Fauzi, 32, bagi menguatkan operasi syarikat sejak Ogos tahun lalu sedikit sebanyak membuatkan dirinya berasa lega.

Ini kerana katanya, sejak hampir 10 tahun berusaha mengembangkan jenama itu di Malaysia dan kini berkembang ke Brunei dan Singapura, dia mengakui hampir tiada masa untuk dirinya dan keluarga.

"Pada mulanya saya tidak mahu bekerja bersama suami di bawah satu bumbung kerana bimbang tidak boleh mencapai kesepakatan.

"Namun pada masa sama saya perlukan pasukan yang lebih kuat untuk mengembangkan syarikat ke tahap terbaik. Kebetulan tahun lalu saya sedang sarat mengandung anak kedua, suami yang juga terbabit dalam industri pembinaan mula mengambil alih tugas saya di syarikat.

"Apa yang dilakukannya dalam syarikat sangat mengagumkan menyebabkan saya terus yakin dengannya untuk sama-sama menerajui syarikat. Saya pula berasa lega kerana selepas melahirkan anak kedua, saya ada lebih banyak masa untuk bayi dan dapat berpantang dengan sempurna berbanding ketika melahirkan anak pertama dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, apabila suami menyertai syarikat itu masing-masing berperanan dan bertanggungjawab untuk jabatan yang diuruskan.

Ili Zawani mengakui awalnya, dia susah membiasakan diri bekerja bersama suami kerana sebelum ini dia mempunyai kuasa dalam membuat keputusan sepenuhnya dalam syarikat.

Namun dia tidak menolak hakikat bahawa kesungguhan dan usaha suaminya itu membantu syarikat sebenarnya memberikan wanita itu lebih banyak masa bersama keluarga apatah lagi dengan kehadiran dua permata hati mereka yang masih kecil.

"Saya sangat terharu dengan pengorbanan suami untuk membantu FCC terus berkembang sedangkan pada masa sama dia masih menguruskan syarikat pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 10:54 AM