ANAK penyeri hidup Syed dan Hidayatul.
ANAK penyeri hidup Syed dan Hidayatul.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Setiap ibu bapa pasti mengharapkan permata yang lahir ke dunia sentiasa sihat, aktif dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun buat pasangan suami isteri, Syed Mohd Saiful Ikhwan Syed Abdul Khalid, 35, dan Hidayatul Elmi Ismail, 35, dikurniakan anak berpenyakit kronik menjadikan mereka ibu bapa yang prihatin terhadap faktor sekeliling terutama pemakanan.

Apabila anak sulung dan kedua disahkan mengidap buah pinggang kronik (CKD), Syed dan isterinya berasa mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan memastikan makanan yang dihidangkan untuk keluarga mestilah semula jadi.

“Tiada langsung snek (jajan) mahupun makanan segera dibenarkan masuk ke rumah kami memandangkan anak yang berusia lapan dan lima tahun menghidap CKD.

“Kami perlu tegas dalam bab pemakanan demi kesihatan anak-anak. Biarlah kami berkorban sedikit asalkan anak-anak boleh hidup sihat. Jadi kami memang teliti dalam bab pemakanan seharian dan setiap makanan perlu dimasak tanpa menggunakan bahan perasa atau perasa tambahan. Mulanya memang agak janggal, tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa,” katanya.

Menurutnya, CKD juga menyebabkan sistem imun dan pertahanan badan kedua anaknya itu amat lemah hingga begitu mudah mendapat jangkitan selsema dan batuk.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila mereka juga sering demam dan sukar bernafas jika dijangkiti selesema dan perkara itu berlarutan selama berhari-hari.

Bagi kanak-kanak lain, demam dan selesema adalah jangkitan ringan yang biasa. Namun jangkitan yang dianggap ringan ini boleh menyebabkan anak-anaknya menjadi sangat lemah. Syed dan Hidayatul bimbang setiap kali musim demam dan selesema melanda yang menyebabkan mereka sentiasa tercari-cari cara terbaik untuk mengurangkan simptom jangkitan secara tradisional selain ubatan dan rawatan hospital.

Hidayatul sendiri tidak jemu mencari kaedah alternatif untuk melegakan simptom berkaitan masalah pernafasan yang sering dialami anak-anaknya.

SYED Mohd Saiful Ikhwan dan Hidayatul meluangkan masa bercuti bersama empat anak mereka.
SYED Mohd Saiful Ikhwan dan Hidayatul meluangkan masa bercuti bersama empat anak mereka.

“Isteri saya membaca mengenai penggunaan minyak pati untuk masalah ini. Dia mula belajar cara mencampurkan pati minyak yang diketahui mempunyai manfaat teraputik untuk kesihatan. Kebetulan pula, saya mempunyai kelulusan dalam kejuruteraan kimia dan cuba memanfaatkan ilmu yang dipelajari dulu terutama dalam membantu isteri dari segi mencari nisbah yang bersesuaian untuk kegunaan sendiri.

“Lama kami gunakannya pada anak kami. Melihat hasilnya yang memberangsangkan, saya terfikir mengapa tidak kami hasilkan produk balsam berasaskan minyak pati dan bahan semula jadi ini supaya lebih mudah digunakan oleh anak-anak,” katanya.

Bermula dari situ, mereka menjalankan kajian dan pembangunan antara tiga hingga lima tahun untuk menghasilkan produk balsam yang boleh digunakan seisi keluarga.

Katanya, hasil gandingan ilmu dalam kejuruteraan kimia yang digabung dengan pengetahuan Hidayatul dari bidang teknologi makanan maka pada April tahun lalu, lahirlah produk barangan keperluan ibu dan anak yang berasaskan herba berkualiti tradisional

Katanya, Balsam Bayi Tok Syed keluaran mereka adalah persediaan kecil untuk membantu menenangkan bayi di kala mereka kegelisahan kerana selesema atau batuk.

Balsam serba guna itu diadun daripada bahan semula jadi seperti lilin lebah iaitu pekatan bahan asli yang dihasilkan dari lebah, minyak kelapa dara dan minyak bunga matahari.

Syed berkata, pati minyak lavender menjadi agen utama dalam produk itu yang berfungsi mengurangkan tekanan malah dengan wangiannya yang menenangkan, ia bukan sekadar bahan aromaterapi, kebaikannya melegakan simptom demam dan selesema.

“Oleh kerana anak sendiri ada masalah kesihatan yang kronik, kami menjadi sangat peka terhadap kandungan bahan kimia berbahaya dalam sebarang produk. Siapa yang sanggup melihat si manja mereka tercemar dengan penggunaan produk yang dicampuri SLES, paraben dan seumpamanya, begitulah juga kami.

“Justeru, kami melakukan beberapa kajian serta pembangunan untuk mengeluarkan produk kegunaan harian si manja dan ibu malah orang dewasa lain sekali pun berasaskan kandungan pati herba terpilih dari pelbagai serantau benua yang terdapat di Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:01 AM