MAJLIS pelancaran Eve Duet.
MAJLIS pelancaran Eve Duet.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kerap kali wanita menonjolkan ekspresi diri menerusi gaya solekan dan pakaian. Malah, dua unsur ini juga kerap disuai padan dalam pelbagai acara, majlis mahupun keadaan untuk menyerlahkan lagi penampilan.

Apa kata tampil lebih elegan dan berani dengan haruman? Avon baru-baru ini memperkenalkan haruman yang mampu menyerlahkan personaliti dan sisi anggun seorang wanita.

Meraikan pelbagai dimensi wanita kontemporari, jenama kecantikan itu melancarkan wangian indah penuh makna, Eve Duet. Menggandingkan dua haruman berbeza dalam satu gaya ikonik, Eve Duet direka secara harmoni untuk dipakai secara berasingan atau dilapisi bersama bagi mencipta kombinasi haruman tanpa batasan.

Daripada wangian segar bunga dan buah-buahan hinggalah kepada haruman flora sensual memikat, Eve Duet membawa wanita merentasi pengembaraan dan eksperimentasi haruman indah, sekali gus menyelami keistimewaan dan keunikan diri.

Dicipta bersama pakar wangian, Jean-Marc Chaillan, dua haruman kekal lama ini berkongsi satu nota utama yang mencetus harmoni apabila dipakai seiringan. Ia adalah bunga teratai Amazon eksotik yang hanya mekar selama tiga hari dalam setahun.

Bunga teratai ini berubah warna dan aroma dari fajar ke senja. Ia menjadi simbolik kepada setiap watak dan sisi wanita yang berbeza serta menjadi asas terpenting dalam penciptaan Eve Duet.

Menurut Marc Chaillan, kolaborasi bersama Avon tercetus kerana penghormatan jenama itu yang sentiasa teguh terhadap pengguna. Beliau kemudian berbesar hati untuk bergabung, mencipta haruman indah dan unik.

Bagi mencermin kepelbagaian sisi wangian berkenaan, Avon turut memperkenalkan pelakon, Eva Mendes sebagai wajah Eve Duet. Eva adalah seorang selebriti antarabangsa yang berbakat dan terkenal kerana kebolehannya memegang pelbagai watak.

Selain menjadi pelakon, Eva juga ibu kepada dua cahaya mata, pereka fesyen dan usahawan berjaya. Semua peranan itu jelas menonjolkan personalitinya yang pintar, berani, riang dan menceriakan.

Menerusi video pendek yang ditayangkan pada pelancaran Eve Duet, Eva mengakui berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan syarikat yang memahami dan menghormati wanita buat sekian lama.

“Saya gemar menjadi kreatif dan mencuba pelbagai fesyen mengikut mood saya. Jadi, saya amat teruja untuk mengekspresi dan meraikan identiti saya melalui haruman baru ini,” ujarnya.

Eve Duet Eau de Parfum dilancarkan Pemangku Ketua Pemasaran Komersial Avon Malaysia May Chin bersama Pakar haruman dari Perancis, Florent di Marino; selebriti, Datin Elaine Daly dan pereka fesyen Alia Bastamam. Wangian itu bakal dipasarkan bermula 1 Mac depan menerusi wakil Avon dan butik kecantikannya di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 11:23 AM