KUMPULAN wira kecil yang sentiasa bersemangat pelajari ilmu baru mengenai hidupan liar dan alam sekitar.
KUMPULAN wira kecil yang sentiasa bersemangat pelajari ilmu baru mengenai hidupan liar dan alam sekitar.
Intan Mas Ayu Shahimi

Selepas menyempurnakan misi mereka di Sunway Lost World Of Tambun (LWOT) pada Ogos lalu, 10 wira cilik ini kembali berkumpul memenuhi tanggungjawab, memulihara hidupan liar mereka.

Kali ini, Anna Huggel, 12, dilantik sebagai ketua untuk memimpin pasukan Wira Hidupan Liar dalam menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh Sunway Theme Parks.

Banyak pengalaman dan kemahiran baru mereka dipelajari sepanjang melengkapkan misi pertama mereka di LWOT digunakan sebaik-baiknya. Wira kecil ini kian mahir berkhemah dan paling penting mereka semakin bijak membawa diri serta belajar berdikari.

Masing-masing sudah diajar bagaimana hendak memasang khemah, menjaga keselamatan di air, mengikuti bengkel keyakinan, membina rakit dan memulakan penjelajahan trek malam di Gua Datuk yang misteri serta bersejarah.

Mereka juga ditugaskan untuk memilih haiwan dan membuat pelan khusus untuk binatang yang dipilih serta berkongsi semua hasil kerja di mesyuarat majlis ke-3 dan ke-4 nanti.

Sempena kembalinya wira kecil ini ke Majlis Mesyuarat Kedua, mereka menghabiskan masa tiga hari untuk menimba lebih banyak ilmu mengenai kelakuan, diet dan spesies pelbagai haiwan yang terdapat di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon.

Bermula dari burung, ikan, reptilia dan mamalia semua perincian berkaitan dikaji mengikut topik yang dikhususkan.

Selain itu, Wira Hidupan Liar ini turut diberi peluang merasai pengalaman sebagai penjaga zoo di Sunway Lagoon.

Mereka belajar kaedah untuk menjaga dan menanam tumbuhan melalui projek penanaman. Melihat kepada perkembangan mereka, ibu bapa masing-masing boleh tersenyum apabila anak kesayangan menunjukkan kemahiran dalam pelbagai perkara dan lebih berdikari serta tampak lebih berkeyakinan.

Keyakinan itulah yang membuatkan ibu bapa tidak ragu-ragu atau bimbang ‘melepaskan’ anak untuk mengikuti program seumpama ini walaupun ada antara wira itu yang masih terlalu muda dan belum masuk sekolah rendah!

Namun usia bukan ukuran kerana apa yang lebih penting keinginan mereka untuk menambah ilmu dengan cara menyeronokkan. Pengurus Besar Kanan Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, dalam tempoh setahun, Wira Hidupan Liar akan mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan mempelajari banyak aspek pemuliharaan hidupan liar.

“Pada masa sama, mereka juga berkongsi cadangan bagaimana untuk membantu taman tema ini memperbaiki kelemahan yang ada di Petting Zoo dan Wildlife Park.

“Dengan mengikuti setiap mesyuarat, wira kecil ini juga akan mendapat lencana untuk dipakai bersama seragam mereka,” katanya.

Jelas Ho, beliau gembira kerana mempunyai Wira Hidupan Liar sekali lagi di Sunway Lagoon.

“Di sini, mereka dapat melihat bagaimana penduduk bandar berinteraksi dengan alam semula jadi dan belajar menghargai flora dan fauna kami di tengah-tengah hutan konkrit.

“Malah, kita juga melantik ketua pada misi kali ini. Memilih ketua juga bukan mudah kerana setiap Wira Hidupan Liar menunjukkan semangat tinggi dalam memulihara alam serta hidupan.

“Bagaimanapun, mengambil kira tugasan akhir dan prestasi wira, kita lihat banyak kemahiran kepemimpinan dan pengetahuan yang ada pada Anna. Atas sebab itu, kami memilihnya untuk menjadi ketua.

“Kami percaya Anna memiliki kualiti tepat untuk mengetuai kumpulan muda Wira Hidupan Liar bergerak ke hadapan,” katanya.

Pada usia lima tahun, Anna terdedah kepada proses mengeram telur ayam yang mencetuskan rasa ingin tahu dan semangat dalam pemeliharaan hidupan liar.

Anna yang menjadikan Jane Goodall sebagai hero bercita-cita untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai khususnya golongan muda sepertinya mengenai pemeliharaan hidupan liar secara sukarela, dalam organisasi yang berbeza dan memberi ceramah kepada pelajar dari sekolah.

Mesyuarat Majlis kedua itu membawa Wira Hidupan Liar lebih hampir kepada kesimpulan program pembelajaran sepanjang tahun.

Setiap peserta program ini akan diberi ganjaran RM8,000, manakala ketua akan menerima insentif tambahan sebanyak RM4,000 pada akhir nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:00 AM