DAPATKAN nasihat dan rawatan doktor sekiranya mula berasa tidak sihat.
DAPATKAN nasihat dan rawatan doktor sekiranya mula berasa tidak sihat.
BANJIR yang melanda Pulau Pinang dan beberapa negari lain sejak minggu lalu.
BANJIR yang melanda Pulau Pinang dan beberapa negari lain sejak minggu lalu.
Siti Nadirah Hafidzin


Banjir yang disifatkan terburuk melanda Pulau Pinang dan beberapa negeri lain baru-baru ini memilukan hati seluruh rakyat Malaysia kerana ia bukan saja memusnahkan harta benda malah ia turut meragut nyawa.

Hampir keseluruhan Pulau Pinang dilanda banjir setinggi 0.2 meter hingga satu meter, selain 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku.

Banjir dan keadaan cuaca tidak menentu yang berlaku di hampir setiap negeri kini bakal mengakibatkan berlaku pelbagai jenis penyakit berjangkit yang membimbangkan semua pihak.

Ia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah kerana banjir antara punca utama pelbagai penyakit termasuk penyakit bawaan air seperti cirit-birit (gastroenteritis akut), kolera, tifoid, hepatitis A, disentri dan keracunan makanan akibat bekalan air serta sumber makanan yang tercemar.

Air banjir yang bercampur dengan sampah-sarap dan najis menyebabkan ia tercemar dengan pelbagai jenis bakteria berbahaya.

Mengulas mengenai isu ini, Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, bayi, kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kronik antara golongan paling berisiko dijangkiti penyakit berjangkit akibat banjir.

Menurutnya, kenaikan air kotor yang berlaku di hampir setiap tempat di Pulau Pinang akan menjadi punca utama berlakunya penyakit berjangkit.

“Dalam keadaan kini, penjagaan kesihatan dan sumber makanan serta minuman yang bersih amat penting memandangkan penularan penyakit bawaan air boleh membawa maut.

“Cirit-birit antara simptom utama kebanyakan penyakit bawaan air yang boleh mengundang maut apabila ia berlaku secara berterusan dan menyebabkan badan pesakit kekurangan air,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, keadaan ini boleh berlaku dengan pantas akibat kehilangan banyak air, menyebabkan kurangnya bekalan darah ke buah pinggang dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang.

“Dalam senario ini, kita perlu langkah yang perlu diambil khususnya dari segi penjagaan kesihatan. Mungkin ramai yang memandang remeh dan menjalani rutin biasa apabila banjir surut serta kembali ke rumah masing-masing namun hakikatnya banyak perkara berkaitan kesihatan perlu dititikberatkan,” ujarnya.

Katanya, pemberian sumber air bersih antara kaedah paling perlu dilakukan selepas banjir surut.

“Bantuan yang diberikan di pusat pemindahan sementara juga perlu sistematik apabila pemberian perlulah sesuai seperti bantuan ubat-ubatan, makanan serta minuman yang sihat, keperluan bayi termasuk susu dan makanan sesuai untuk bayi.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan dan kesedihan dialami mangsa dan pada masa sama tahap kesihatan mereka juga terjaga,” katanya.

Katanya, cabaran sebenar yang dilihat dalam keadaan kini adalah penjagaan kesihatan setiap mangsa termasuk selepas banjir reda.

“Saya mencadangkan supaya kerjasama antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan kesihatan perlu dilakukan bagi membantu setiap mangsa mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai langkah penjagaan kesihatan.

“Ia diperlukan bagi mengelak berlakunya kes kematian secara tidak langsung kesan daripada banjir ini,” ujarnya.

FAKTOR CUACA TIDAK MENENTU

Selain penduduk di negeri yang terjejas dengan banjir, penduduk di negeri lain juga perlu lebih peka dengan keadaan cuaca kini yang tidak menentu.

Dr Zubaidi berkata, dapat dilihat kini hujan lebat di kebanyakan negeri berlaku sejak minggu lalu dan ia memberi kesan kepada keadaan kesihatan individu.

“Peka dengan keadaan kesihatan diri dan individu di sekeliling terutama kepada bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.

“Dalam keadaan cuaca sejuk, banyak kesan boleh terjadi yang memerlukan langkah penjagaan kesihatan perlu dilakukan secara sistematik,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, awasi juga pergerakan anak dan jangan biarkan mereka itu bermain di luar rumah tanpa pengawasan.

“Beringat sebelum kena, segera bertemu doktor sekiranya mengalami masalah kesihatan dan jangan sesekali mengabaikan kesihatan diri.

“Dalam senario kini, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengelak dijangkiti pelbagai penyakit akibat musibah banjir,” ujarnya.

Katanya, walaupun banjir berlaku hampir setiap tahun di pelbagai lokasi namun pendedahan dan pengetahuan terutama mengenai langkah penjagaan kesihatan masih kurang.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

- Tidak keluar daripada rumah ketika hujan lebat sekiranya tidak mempunyai sebab yang penting.

- Sentiasa memakai pakaian yang bersesuaian.

- Mempunyai stok ubat-ubatan di rumah.

- Jaga diet harian anda. Hindarilah minuman berais untuk mengelak risiko demam, selesema atau batuk.

- Minum air kosong secukupnya setiap hari.

- Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya tidak sihat.

- Banyakkan membaca mengenai informasi banjir dan langkah penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:58 PM