SEORANG penduduk membawa keluarganya keluar menggunakan pelampung selepas rumah mereka di Hulu Terengganu dinaiki air.
SEORANG penduduk membawa keluarganya keluar menggunakan pelampung selepas rumah mereka di Hulu Terengganu dinaiki air.

Banjir di empat negeri baru-baru ini wajar dijadikan peringatan, apatah lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu, begitu juga dengan situasi banjir kilat di sesetengan kawasan di sekitar Lembah Klang.

Penduduk di kawasan terjejas dan berisiko banjir dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama dari sudut kesihatan dan mengelak sebarang kecederaan.

Ketika banjir, penduduk di kawasan terbabit biasanya terdedah kepada ancaman penyakit berjang­kit seperti kencing tikus, cirit-birit, taun dan campak. Paling tidak, penduduk masih perlu bersedia untuk berdepan risiko batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.

Elakkan berada di kawasan dinaiki air. Anak kecil juga perlu diingatkan me­ngenai risiko lemas, renjatan elektrik, dan kecederaan akibat terpijak benda tajam mahupun terjatuh ke dalam longkang.

Apabila air bah surut, ia boleh memberi ancaman lebih besar terhadap kesihatan dan keselamatan diri. Malah mangsa mungkin berdepan tekanan mental akibat kerosakan kediaman, harta benda, ternakan, tanaman mahupun kehilangan orang tersayang.

Rasa tidak bermaya, kurang tidur, resah gelisah, marah, hiperaktif dan murung adalah normal dan biasanya hilang bersama masa. Namun jika simptom itu berlarutan selepas beberapa minggu tragedi berlaku, mangsa perlu dirujuk kepada doktor atau pakar psikologi untuk pemeriksaan lanjut serta kaunseling.

Tidak kira semasa atau selepas banjir, penyakit berjangkit bawaan air selalunya mudah merebak jika langkah sewajarnya tidak diambil.

Gejala penyakit bawaan air selalunya hampir sama di antara satu sama lain seperti loya, muntah, cirit-birit, perut meragam, sakit otot-otot dan demam. Sekiranya gejala berkenaan serius dan berlarutan, mangsa hendaklah segera dibawa berjumpa doktor kerana air bah menyebabkan bahan beracun ini naik ke permukaan dan memberikan kesan negatif kepada manusia.

Bagi mereka yang diarahkan berpindah diminta mematuhinya dan tidak terlalu mengikutkan perasaan tetapi lebih mengutamakan keselamatan nyawa mereka. Suasana sejuk menyebab­kan seseorang lebih mudah terkena jangkitan. Berhati-hati apabila kembali semula ke kediaman selepas banjir kerana mungkin terdapat ancaman bahan kimia berbahaya, cas elektrik dan kebocoran gas.

Bagi ibu sarat me­ngandung, sebaik-baiknya segala persiapan kelahiran disimpan di tempat yang mudah dicapai. Pastikan segala dokumen penting seperti kad pengenalan, kad antenatal dan nombor telefon hospital disimpan rapi bagi mengelak masalah ketika hendak bersalin.

Begitu juga dengan pesakit kronik yang mempunyai jadual rawatan serta ubatan yang perlu diambil me­ngikut waktu. Pastikan bekalan ubat mencukupi dan kad rawatan serta dokumen penting lain tidak hilang.

Mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis perlu memaklumkan situasi kepada pegawai kesihatan atau pusat pemindahan berkenaan untuk bantuan.

Jangkitan penyakit bawaan air biasa berlaku semasa dan selepas musim banjir. Pada tempoh ini, air banjir mengandungi banyak jenis kuman, virus, bakteria, kulat dan parasit akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan.

Bagi mengelak jangkitan penyakit kronik, orang ramai yang berisiko dengan banjir perlu mengutamakan kebersihan. Golongan paling berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan juga pesakit kronik perlu lebih berwaspada bagi mengelak dijangkiti kuman melalui makanan, air tercemar mahupun luka kecederaan.

PANDUAN KESIHATAN MUSIM BANJIR

- Sentiasa minum air yang dimasak

- Makan makanan yang dimasak saja.

- Elakkan makanan mentah seperti sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman

- Jangan makan makanan yang terdedah

- Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling

- Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas

- Guna tandas yang sempurna

- Buang sampah di tempat yang betul

- Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor

- Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:33 AM