SUKARELAWAN membantu merangsang kreativiti kanak-kanak.
SUKARELAWAN membantu merangsang kreativiti kanak-kanak.
PERPUSTAKAAN Kanak-kanak P&G dan Budimas dibuka melalui sumbangan orang ramai dan kakitangan.
PERPUSTAKAAN Kanak-kanak P&G dan Budimas dibuka melalui sumbangan orang ramai dan kakitangan.
KANAK-KANAK paling teruja dengan pembukaan perpustakaan khas untuk mereka.
KANAK-KANAK paling teruja dengan pembukaan perpustakaan khas untuk mereka.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Ketika kecil dulu, setiap kali diberi peluang keluar, perpustakaan kampung menjadi destinasi tumpuan. Boleh dikatakan setiap kali habis aktiviti di sekolah, penulis akan singgah di perpustakaan terlebih dulu dan selepas puas membelek buku barulah pulang ke rumah. Inilah rutin mingguan yang menyebabkan ibu sudah tahu ke mana anaknya menghilang terutama pada setiap Sabtu.

Memang cukup teruja berada di perpustakaan di kampung. Dulu, perpustakaan kecil itu dianggap cukup besar dan sangat menarik apatah lagi dengan kehadiran pelbagai buku cerita kanak-kanak termasuk siri penyiasatan.

Saban minggu, penulis akan meminjam dua buku cerita sehingga dimarahi ibu kerana terlalu asyik membacanya mengalahkan ketelitian menelaah buku pelajaran. Itu kenangan waktu kecil dan sampai sekarang, perpustakaan masih menjadi satu keperluan yang wajib ada untuk menggalakkan minat membaca khususnya buat kanak-kanak di luar bandar.

Sungguh, penulis cukup teruja apabila mengetahui baru-baru ini, Procter & Gamble Malaysia (P&G) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) membuka Perpustakaan Kanak-kanak, P&G & Budimas, yang akan menjadi pusat komuniti dan ruang pendidikan untuk 200 kanak-kanak daripada masyarakat Orang Asli Tanjung Sepat.

Menerusi pembukaan perpustakaan ini, P&G dan Budimas ingin menyediakan ruang yang selesa dan kolaboratif untuk kanak-kanak memupuk tabiat suka membaca dan membuat ulang kaji pelajaran mereka dalam keadaan selesa.

Kakitangan P&G sebelum itu menganjur kempen mengutip dana dan buku serta mengumpulkan lebih RM80,000 dan 2,000 naskhah buku untuk disumbangkan kepada Budimas demi membangunkan pusat pendidikan P&G.

Pengarah Urusan P&G Malaysia Singapura, Brunei dan Global Development Markets Asia Ong Yuh Hwang berkata, pihaknya mementingkan tindakan yang boleh memperbaiki kehidupan masyarakat menerusi program yang bermakna.

Malah katanya, sempena ulang tahun ke-30 P&G di Malaysia, syarikat itu menandakan kejayaan dengan mempertingkat dan memperkasakan komuniti di sekelilingnya.

“Kerjasama dengan Budimas sangat memberi inspirasi kerana kami berkongsi kepercayaan betapa pentingnya memupuk rasa ingin tahu, suka membaca dan kerjasama demi membesarkan pemimpin masa depan.

“Kami bekerjasama sepanjang tahun bagi memastikan ruang yang kondusif untuk kanak-kanak ini dapat disediakan agar ia memenuhi keperluan pendidikan masyarakat.

“Perpustakaan kanak-kanak ini menandakan fasa pertama dalam perkongsian jangka panjang kami. Kami akan terus kembali untuk membantu pelajar dengan pengajian mereka,” katanya.

Sebelum pembukaan perpustakaan itu, 40 kakitangan P&G berkunjung ke kampung di Tanjung Sepat untuk menyusun perabot dan buku serta menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan hiasan kraf tangan.

Semasa majlis perasmian perpustakaan, kakitangan P&G turut menganjurkan aktiviti berpendidikan untuk kanak-kanak seperti bengkel tenunan tradisional, projek seni dan kraf serta program pertukaran penanda buku.

Perpustakaan itu antara pencapaian utama syarikat berkenaan yang sudah menganjurkan siri inisiatif berlandaskan masyarakat sepanjang tahun bersempena ulang tahunnya yang ke-30.

Sementara itu, Bendahari Yayasan Kebajikan Budimas YM Tunku Yahaya @ Yahya Tunku Abdullah berkata, pihaknya menghargai kerjasama dan usaha P&G dalam mengumpulkan dana dan buku serta membina perpustakaan sekali gus merealisasikan Perpustakaan Kanak-Kanak Budimas ketujuh sejak dimulakan tiga tahun lalu.

Katanya, perpustakaan itu adalah sebahagian daripada matlamat Budimas untuk memberikan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik di luar bandar dan kawasan perumahan miskin di Malaysia.

“Melalui usaha ini, kami berharap boleh membantu kanak-kanak di Kampung Orang Asli Tanjung Sepat menitikberatkan dan meneruskan pendidikan agar menjadi generasi yang celik pendidikan,” katanya.

P&G sentiasa mengutamakan usaha kewarganegaraan dan memastikan komuniti apabila mereka beroperasi kekal kukuh dan berkembang maju.

Tahun ini, mereka juga melancarkan kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’ dengan kerjasama Yayasan Bantuan Makanan sempena Aidilfitri untuk menggalakkan rakyat Malaysia membantu meringankan beban ibu tunggal di seluruh negara menerusi sumbangan pelbagai barangan yang tidak mudah rosak.

Selain bantuan untuk kanak-kanak Orang Asli dan ibu tunggal, P&G turut membantu mangsa banjir dan rakyat Malaysia yang tiada bekalan air bersih menerusi inisiatif Air Minum Selamat Untuk Kanak-kanak melalui perkongsian jangka panjang mereka bersama Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan iM4U.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 12:20 PM