PENGGUNAAN gajet berpanjangan boleh jejaskan kesihatan mata.
PENGGUNAAN gajet berpanjangan boleh jejaskan kesihatan mata.
Intan Mas Ayu Shahimi


Mata letih, tidak selesa dan kekeringan selalunya mencetuskan banyak persoalan berkaitan pemakanan, gaya hidup serta suasana sekeliling. Bagi kebanyakan orang, simptom sedemikian dipandang remeh, apalagi selepas seharian menghadap kerja di pejabat.

Realitinya, masalah mata tidak hanya bermula selepas anda penat menumpukan perhatian kepada kerja. Imbas kembali rutin harian dan lihat semula punca mata letih. Adakah anda memulakan hari dengan dikejutkan jam dari telefon pintar? Besar kemungkinan, anda akan terus membelek komen di laman media sosial sebaik saja anda bangun pagi!

Lihat pula rutin harian sebelum tidur. Jika anda memeriksa telefon pintar sebagai penutup kepada hari yang sibuk, nampak jelas itulah gaya hidup yang perlu diberi perhatian. Perlu juga diketahui anda tidak keseorangan, sebaliknya ini adalah fenomena dunia yang kian selesa dijadikan amalan, termasuk rakyat Malaysia.

Menurut kajian, rakyat negara ini meluangkan lebih daripada lima hingga lapan jam sehari menatap skrin digital. Ini termasuk pendedahan kepada pelbagai jenis peralatan seperti komputer riba, komputer, telefon pintar, tablet dan televisyen. Sementara penggunaan skrin pelbagai pula meningkat seiring pertambahan populasi digital Malaysia yang kian dahagakan berita dan maklumat, di samping memenuhi keperluan tugasan di tempat kerja.

Jumlah ini dipercayai selari dengan trend penggunaan digital di Asia yang menunjukkan warga benua ini meluangkan masa secara purata 439 minit atau lebih daripada tujuh jam sehari menatap skrin. Daripada jumlah berkenaan, tempoh dua jam diluangkan untuk menatap skrin kedua ketika menonton televisyen.

Biarpun teknologi diakui penting dalam memudahkan urusan harian dan membolehkan semua pihak berhubung secara terus pada bila-bila masa, tiada siapa boleh menidakkan hakikat kecanggihan teknologi kini masih membawa pelbagai kesan buruk kepada kesihatan, termasuk tekanan digital terhadap deria penglihatan manusia.

Tekanan sebegini cenderung mendatangkan rasa tidak selesa, mata kering, kerengsaan dan penglihatan kabur. Ia selalunya berlaku apabila kita menatap skrin digital dalam tempoh yang lama, secara berterusan.

Apa yang membimbangkan, kekerapan tekanan digital pada mata juga boleh mengakibatkan mata kering. Sekiranya dibiarkan dalam jangka masa panjang, keadaan ini bukan saja boleh menjejaskan rutin harian seseorang, malah mengehadkan kemampuan menjalankan aktiviti seperti memandu dan membaca.

Keadaan ini bukan hanya pada orang dewasa, malah turut membabitkan pelajar sama ada di sekolah menengah atau institusi pengajian tinggi kerana boleh dikatakan setiap pelajar mempunyai telefon pintar dan tablet sendiri.

Menurut Pakar Oftalmologi Hospital Columbia Asia Klang Dr Siva Kumar Sundralingam, satu lapisan air mata yang nipis sepatutnya menyaluti permukaan mata setiap kali kita mengelipkan mata.

“Apabila seseorang mempunyai masalah mata kering, kelenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang secukupnya untuk melembapkan dan melindungi organ penglihatan berkenaan. Inilah yang menjadi punca ketidakselesaan dan kerengsaan pada mata.

“Keadaan ini boleh berlaku disebabkan pendedahan yang terlalu lama atau disebut tekanan digital terhadap mata. Sekiranya tidak dielakkan, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang lebih berbahaya kepada kesihatan mata seseorang,” katanya.

Jelas Dr Siva, teknologi sememangnya membawa banyak kelebihan, namun perlu digunakan secara berhemah untuk mengelak sebarang ancaman buruk kepada kesihatan mata.

“Ada banyak kaedah penjagaan mudah yang boleh dijadikan amalan harian untuk mengelakkan mata kering dan tekanan pada penglihatan. Antaranya, merehatkan mata daripada skrin pada setiap 20 minit, mengurangkan kadar terang komputer atau telefon pintar ke tahap yang selesa dan menggunakan skrin digital daripada jarak yang bersesuaian dengan penglihatan,” katanya.

Selain kaedah pencegahan bersesuaian, orang ramai juga boleh mendapatkan produk penjagaan mata, Systane. Ia berfungsi melembapkan mata sebelum kekeringan berlaku, serta memberi kelegaan berpanjangan untuk mata kering dan penat.

Jenama ini turut menggalakkan orang ramai supaya mendapatkan khidmat nasihat doktor mata, sekurang-kurangnya sekali tahun untuk memastikan keadaan mata dan penglihatan mereka kekal dalam keadaan baik.

Pengurus Negara bagi Novartis Malaysia Joshi Venugopal berkata, selain menyediakan penyelesaian kepada pengguna menerusi rangkaian produknya, Systane turut menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran ramai mengenai kesan keadaan mata kering dan kaedah mengatasinya.

“Kami melancarkan laman Facebook rasmi sebagai platform untuk berhubung dengan komuniti Malaysia dan mendidik mereka mengenai penjagaan mata yang betul serta penyelesaian yang ada untuk mereka sekiranya mengalami tanda mata kering.

“Kami tawarkan lima kaedah penyelesaian iaiatu Systane ULTRA Lubricant Eye Drops, Systane Hydration Lubricant Eye Drop, Systane Balance Lubricant Eye Drops, Systane Gel Drops dan Systane Lid Wipes. Setiap satunya mempunyai peranan dalam membantu mengatasi masalah mata kering,” katanya.

Tip penjagaan mata

1. Rehatkan mata daripada skrin. Lihat objek di sekeliling pada jarak kira-kira enam meter selama 20 saat, pada setiap 20 minit

2. Gunakan skrin digital pada jarak yang selesa dan elakkan menatap dari dekat

3. Besarkan saiz huruf pada skrin. Ini sangat membantu mengurangkan tekanan pada mata

4. Kedip mata secara kerap. Setiap kali anda berkedip, ia melembapkan permukaan mata

5. Jangan tunggu dan hidratkan mata! Sebelum simptom mata kering meningkat, amalkan rutin penjagaan mata yang sihat setiap hari!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 2:49 PM