JAZMI (kiri) dan Ziana Zain (tengah) beramah mesra bersama anak dari PWBBM yang diraikan pada majlis sumbangan hari raya serta berbuka puasa di the Curve.
JAZMI (kiri) dan Ziana Zain (tengah) beramah mesra bersama anak dari PWBBM yang diraikan pada majlis sumbangan hari raya serta berbuka puasa di the Curve.
Siti Zarinah Sahib

Kala orang lain mula menghitung hari kedatangan Syawal, mereka semakin sibuk bekerja. Dalam tempoh yang berbaki beberapa belas hari saja lagi, kumpulan ibu tunggal ini tetap bertungkus-lumus mencari pendapatan sampingan bagi menyediakan keperluan raya anak. Bagi mereka, biarlah pakaian di badan tidak berganti asalkan anak tersenyum riang mengenakan baju baru pada pagi lebaran.

Hal yang sama turut dirasai Nuriani Saleh, 53, ibu tunggal enam anak. Berasal dari Sabah dan kini menetap di Puchong, Selangor sejak bergelar ibu tunggal pada 2000 dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak.

Bagi menampung pembiayaan persekolahan, pelbagai kerja dilakukan antaranya menjadi jurujual di pasar raya dan membuat kuih raya secara kecil-kecilan.

“Saya akui perbelanjaan untuk lebaran meningkat dua kali ganda bagi menyediakan baju baru, kuih-muih serta mengganti peralatan rumah yang sudah uzur. Sebab itu saya perlu melakukan kerja sambilan agar gaji diterima dapat menampung semua kos ini,” katanya.

Peluang bertemu Pengasas Simply Cookies Su Seau Yeen, membuka lembaran baru buat Nuriani apabila dia ditawarkan membuat biskut raya yang dijual di pusat beli-belah the Curve sepanjang Ramadan ini.

Projek membuat biskut raya ini berlangsung di dapur Simply Cookies di Puchong, Selangor yang turut menempatkan ramai ibu tunggal daripada pelbagai golongan usia.

“Sejak bekerja dengan Simply Cookies banyak ilmu baru saya pelajari. Jika dulu penghasilan biskut raya hanya secara kecil-kecilan, tetapi saya belajar menghasilkan biskut untuk perniagaan. Kualiti dan rasa perlu dijaga begitu juga dengan resipi biskut kegemaran ramai,” katanya yang bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Bagi Seau Yeen pula dia sangat teruja apabila menerima pelawaan daripada the Curve yang menyediakan ruang perniagaan bagi meletakkan biskut raya Simply Cookies di situ.

Sebagai sebuah syarikat yang menjalankan khidmat sosial, perbelanjaan operasi adalah sangat tinggi kerana kebanyakan pendapatan yang dijana (jika tidak semua), digunakan untuk membayar gaji kepada ibu tunggal yang bekerja di Simply Cookies.

“Pada masa sama, oleh kerana ingin menjaga kualiti biskut agar lazat, kami hanya menggunakan bahan berkualiti seperti mentega, gula, pelbagai perisa dan buah-buahan segar. Bahan ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos pengeluaran, tetapi ia berbaloi kerana inilah tarikan mengapa Simply Cookies menjadi pilihan.

“Sokongan yang kami terima daripada masyarakat dan rakyat Malaysia membolehkan kami melakukan lebih banyak kerja sosial dan mendekati kumpulan yang lebih besar daripada ibu tunggal,” katanya pada kempen Raya the Curve, Ahlan wa Sahlan to the Sheikh’s Manor.

Menurut Presiden Persatuan Wanita Bersatu Berwawasan Malaysia (PWBBM) Datin Rozita Haron, sebagai sebuah organisasi sokongan wanita yang menyediakan bantuan kepada komuniti ibu tunggal, kerjasama di antara Simply Cookies dan ibu tunggal ini sangat bermakna.

“Menerusi pembuatan biskut raya yang dijalankan di Puchong ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu ibu tunggal membeli keperluan untuk lebaran. Selain itu sebagai persatuan yang menjaga kebajikan ibu tunggal, kami sentiasa mencari peluang pekerjaan untuk mereka bagi meringankan bebanan membesarkan anak,” katanya.

Menurut Pengurus Besar the Curve Jazmi Kamarudin, menjadi tradisi bagi the Curve membantu golongan kurang berkemampuan menjelang raya. Sebelum ini the Curve bekerjasama dengan pelbagai organisasi, tetapi pada tahun ini pusat beli-belah ini bergabung dengan Simply Cookies bagi membantu ibu tunggal menambah pendapatan mereka.

“Kami berbesar hati memberikan sokongan dengan menyediakan ruang percuma bagi jualan biskut pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang kempen raya. Menerusi usaha sama ini, kami berharap kedua-dua organisasi dapat menghimpun dana yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan, tetapi juga membantu bagi persiapan Aidilfitri,” kata Jazmi.

Turut hadir penyanyi dan pelakon Ziana Zain, ibu tunggal dan anak mereka yang menerima cenderahati ikhlas dari the Curve, Pesona Warisan, Nusantara Creations, La Divine dan Waarna.

Berlangsung dari 26 Mei sehingga 27 Jun 2017, kempen Hari Raya the Curve akan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan muzikal secara langsung, Gambus Raya dan Bengkel Seni Khat yang diadakan pada setiap hujung minggu dan hari cuti umum. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan Jazzy Raya pada malam Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 2:52 AM