KATHLEEN Thomas. FOTO Agensi
KATHLEEN Thomas. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang wanita menyelar tindakan sebuah hospital universiti di Cwmbran, Gwent, United Kingdom (UK) kerana memberi maklumat salah berhubung ibunya yang dikatakan sudah meninggal dunia.

The Grange University Hospital adalah hospital baharu di bawah Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS).

Mirror UK melaporkan, Ruth Thomas, 52, mendapat panggilan dari hospital memaklumkan ibunya, Kathleen Thomas, 83, yang dirawat kerana pendarahan dalam perut, meninggal dunia.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, Ruth dan adiknya Joanne mendapati mayat wanita yang terbaring di atas katil bukan ibunya.

"Saya tidak mengenali 'ibu' saya, kemudian adik mula menjerit 'itu bukan ibu kami'. Di luar bilik, kami berulang kali bertanya 'mana ibu kami?

"Kekecohan mula berlaku dan pembantu jururawat berulang kali menjerit 'seseorang memanggil ahli keluarga yang salah' dan bukan dia (Kathleen).

"Ketika kami beredar dari situ, masih berlaku kekecohan dalam kalangan jururawat. Tiada sesiapa yang memaklumkan kepada waris sebenar wanita berkenaan," katanya kepada Mirror.

Ruth turut mendedahkan, bilik wad yang menempatkan ibunya juga tidak dijaga dengan baik yang mana kebersihan diabaikan, dan biliknya kotor.

Katanya, walaupun sudah membuat aduan rasmi, namun keadaannya tidak pernah berubah.

"Ketika melawat ibu, kami sentiasa memerhati keadaan bilik, kebersihan ibu kami tetap tidak terjaga, katilnya basah dan air kencing di atas lantai.

"Bilik juga tidak dibersihkan walaupun sudah kerap kali saya mengetengahkan isu itu kepada perunding, doktor dan jururawat.

"Pada pendapat saya hospital baharu itu masih tidak bersedia untuk dibuka, hospital mengabaikan aspek penjagaan kepada pesakit. Kebersihan diabaikan dan biliknya kotor," kata Ruth.

Sementara itu, pihak hospital berkata, mereka sudah menyiasat insiden itu sepenuhnya dan belajar daripada kesilapan itu.

Katanya, pelan tindakan untuk penjagaan masa depan dan kebersihan untuk semua pesakit sejak itu sudah dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 12:41 PM