PASUKAN keselamatan berkawal di luar Universiti Charles, Republik Czech yang dipenuhi lilin dan bunga sebagai penghormatan terhadap 14 mangsa tembakan. FOTO AFP.
PASUKAN keselamatan berkawal di luar Universiti Charles, Republik Czech yang dipenuhi lilin dan bunga sebagai penghormatan terhadap 14 mangsa tembakan. FOTO AFP.
Agensi

Prague: Polis Czech sudah mengenal pasti kesemua 14 individu yang menjadi mangsa serangan lelaki bersenjata di kampus universiti di ibu negara Prague, pada Khamis.

Ketua Polis, Petr Matejcek dalam sidang media semalam berkata, mereka yang terbunuh dan 25 orang lagi cedera selepas suspek melepaskan tembakan di koridor dan dewan kuliah bangunan Fakulti Seni, Universiti Charles.

Katanya, lelaki bersenjata itu kemudian membunuh diri apabila polis mengepungnya dari semua arah.

Menurutnya, siasatan lanjut menunjukkan suspek berkemungkinan individu sama yang melakukan pembunuhan di hutan Klanovicky, minggu lalu yang mengorbankan lelaki dan anak perempuannya.

"Tetapi kami sedang menunggu bukti balistik untuk mengesahkannya. Sehingga itu, kami akan terus menyiasat jenayah hutan dan buat masa ini tidak tidak boleh mengesahkan 100 peratus," katanya seperti dilapor Anadolu Agency.

Media tempatan mengenal pasti penembak itu sebagai David Kozak berusia 24 tahun yang berasal dari perkampungan Hostoun di wilayah Kladno.

Dia juga dilapor sebagai penuntut di fakulti berkenaan dan memiliki senjata api secara sah selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Suspek juga mempunyai permit untuk lapan senjata, dua daripadanya adalah senapang panjang, kata polis.

Presiden Czech, Petr Pavel merayu rakyat bersatu dan berkata, pembunuhan itu tidak wajar digunakan sebagai cara untuk serangan politik atau penyebaran maklumat yang salah.

Menteri Dalam Negeri Vit Rakusan pula menolak insiden itu sebagai ancaman kepada orang awam Czech, selain memaklumkan seluruh negara berkabung susulan tragedi itu.

Sebagai tanda penghormatan terhadap mangsa serangan, orang ramai meletak lilin dan bunga di hadapan Jabatan Falsafah universiti bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 11:24 AM