TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
Reuters

Athens: Menggemparkan apabila lelaki berusia 36 tahun yang cuba menaiki kapal penumpang ketika ia berlepas dari pelabuhan Piraeus di Greece, Selasa lalu, lemas selepas ditolak oleh anak kapal, kata Menteri Perkapalan Greece, Miltiadis Varvitsiotis pada Rabu.

Video yang tular di media sosial menunjukkan anak kapal bertengkar dengan lelaki itu ketika feri bertolak dari Piraeus untuk menuju ke Pulau Crete.

Varvitsiotis pada Rabu memaklumkan, lelaki itu yang membeli tiket sebelum itu sudah menaiki kapal tetapi turun atas sebab yang tidak diketahui dan kemudian cuba menaiki semula kapal berkenaan.

Bagaimanapun, dia ditolak oleh anak kapal dan jatuh ke dalam laut ketika kapal itu berlepas.

"Saya berasa terkejut dan seram dengan apa yang berlaku.

"Imej itu mengejutkan. Saya juga berasa sangat sedih atas kehilangan lelaki berusia 36 tahun itu," kata Varvitsiotis kepada stesen radio Parapolitika.

Varvitsiotis menerusi ciapan di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) berkata, tiada keraguan bahawa perbuatan itu adalah jenayah pembunuhan.

Tambahnya, empat individu ditahan susulan kejadian itu dan kes kini disiasat oleh pendakwa raya.

Dalam dua kenyataan berasingan pada Rabu, pemilik kapal Attica Group memaklumkan pengurusannya terkejut dengan insiden tragis itu.

Selain itu, ia menyatakan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu menyiasat kes berkenaan.

"Adegan yang kami semua saksikan (itu) tidak dapat difikirkan dan tidak sesuai dengan amalan syarikat.

"Prosedur yang jelas dan ditakrifkan yang mesti dipatuhi dengan ketat oleh kru semua kapal kami, tidak diikuti (dalam kejadian berkenaan)," kata Varvitsiotis kepada stesen radio Parapolitika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 11:57 AM