SEORANG polis Turki mendukung mayat kanak-kanak yang ditemui terdampar di pantai negara itu.
SEORANG polis Turki mendukung mayat kanak-kanak yang ditemui terdampar di pantai negara itu.

Ankara: Imej seorang budak yang mati lemas terdampar di pantai peranginan terkenal Turki tersebar luas di media sosial semalam selepas sekurang-kurangnya 12 dipercayai pelarian Syria mati dalam perjalanan ke pulau Kos di Greece.

Gambar itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berkemeja-T dan berseluar pendek tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum manakala satu lagi imej menunjukkan seorang polis mendukung mayat kecil itu.

Hashtag ‘KiyiyaVuranInsanlik’ (kemanusiaan dibawa arus) menjadi topik utama di Twitter selepas gambar itu dikongsi di laman media sosial berkenaan.

Dua bot membawa 23 orang itu bertolak berasingan dari Akyarlar di semenanjung Bodrum, kata seorang pegawai kanan tentera laut Turki.

Mereka yang maut termasuk lima kanak-kanak dan seorang wanita. Tujuh diselamatkan dan dua yang menggunakan jaket keselamatan berjaya berenang ke ke pantai. Pihak berkuasa tidak meletakkan harapan tinggi menemui dua lagi yang masih hilang.

Sementara itu, pegawai berkenaan berkata, hampir 100 orang diselamatkan kapal Turki sepanjang malam kelmarin dalam pelayaran ke Kos.

Puluhan ribu rakyat Syria yang melarikan diri dari perang di negara mereka membanjiri pesisiran pantai Turki sepanjang musim panas ini untuk menaiki bot ke Greece seterusnya memasuki Kesatuan Eropah.

Agensi bantuan menganggarkan 2,000 orang sehari menyeberangi laut ke kepulauan di timur Greece itu menaiki bot getah sepanjang bulan lalu.

Kapal membawa 1,800 migran dan pelarian dari satu pulau itu tiba di pelabuhan Piraeus berhampiran Athens lewat kelmarin.

Ribuan orang - kebanyakannya dari Afrika - juga cuba memasuki Eropah menaiki bot dari Libya ke Itali. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 11:46 AM