GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Paris: Eropah muncul rantau pertama di dunia melepasi jumlah 500,000 kematian akibat Covid-19 berdasarkan penjumlahan yang dilakukan AFP berdasarkan sumber rasmi.

Pandemik itu meragut sekurang-kurang 500,069 nyawa di 52 negara serta wilayah seluruh Eropah - mengatasi Amerika Latin dan Caribbean (477,404), Amerika Syarikat (AS) dan Kanada (321,287), Asia (208,149), Asia Barat (85,895) serta Afrika (57,423).

Eropah sekali lagi menjadi pusat penularan pandemik itu sejak Oktober bersama AS selepas menjadi tumpuan global pada Mac hingga April lalu.

Hampir 37,000 mangsa terkorban di Eropah sepanjang tempoh tujuh hari lalu iaitu angka mingguan tertinggi sejak dilanda wabak berkenaan.

Malah, pada Selasa lalu, sebanyak 6,800 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu angka tertinggi setakat ini.

Lima negara melaporkan lebih separuh daripada jumlah kematian di Eropah, iaitu Itali (66,537), United Kingdom (UK) (65,520), Perancis (59,361), Rusia (49,151) serta Sepanyol (48,596).

Belgium masih kekal sebagai negara mencatatkan kadar korban tertinggi berbanding jumlah penduduk dengan 158 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Itali (110), Bosnia-Herzegovina (107), Slovenia dan Macedonia Utara (105).

Negara Eropah yang merekodkan kematian baharu paling banyak sepanjang tempoh tujuh hari lalu ialah Itali (4,798), Rusia (3,846), Jerman (3,495), UK (2,954), Poland (2,754) dan Perancis (2,713).

Sejak awal Oktober lalu, Eropah juga muncul rantau mencatatkan angka jangkitan baharu yang tertinggi setiap hari.

Pada minggu lalu, lebih 243,000 jangkitan baharu harian direkodkan di Eropah secara purata hampir satu per tiga daripada kes di seluruh dunia.

Angka mengerikan di Eropah itu menyusul sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai risiko tinggi rantau terbabit berdepan lonjakan penularan semula pada awal tahun depan.

Setakat ini, sekurang-kurang 1.65 juta orang maut akibat Covid-19 dengan lebih 74 juta kes jangkitan di seluruh dunia.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron disahkan positif Covid-19 menyebabkan beberapa ahli politik Eropah yang lain terpaksa turut menjalani kuarantin.

Macron menjalani ujian saringan selepas menunjukkan gejala jangkitan virus itu dan kini kuarantin selama tujuh hari ketika negara ini bergelut dengan lonjakan kes wabak berkenaan.

Gejala dialami beliau dikatakan termasuk demam, batuk dan kelesuan.

Jurucakap kerajaan, Gabriel Attal, memberitahu BFMTV bahawa Macron meninggalkan Istana Elysee pada sebelah petang untuk pulang dan menjalani kuarantin di kediaman rasmi beliau, La Lanterne di Versailles.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 9:35 AM