PELANCONG menyejukkan diri di air pancut di Thessaloniki, Greece, ketika suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius di utara dan barat negara itu. FOTO AFP
PELANCONG menyejukkan diri di air pancut di Thessaloniki, Greece, ketika suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius di utara dan barat negara itu. FOTO AFP
AFP

Rom: Gelombang haba diramalkan di seluruh dunia dari Eropah, Jepun hingga ke Amerika Syarikat (AS) apabila puluhan juta penduduk sedang bertarung dengan suhu tinggi yang berbahaya, contoh terkini ancaman daripada pemanasan global.

Kementerian Kesihatan Itali sudah mengeluarkan amaran merah untuk 16 bandar termasuk Rom, Bologna dan Florence.

Pusat meteorologi negara itu memberi amaran kepada rakyat Itali supaya bersiap sedia untuk gelombang panas paling tinggi pada musim panas ini yang paling teruk sepanjang zaman.

Suhu berkemungkinan mencecah 40 darjah Celsius di Rom menjelang Isnin, dan juga 43 darjah Celsius pada Selasa yang akan memecahkan rekod 40.5 darjah Celsius pada Ogos 2007.

Agensi Angkasa Eropah memberi amaran bahawa cuaca berpotensi merekodkan suhu paling panas di Eropah termasuk di kepulauan Sicily dan Sardinia dijangka meningkat kepada 48 Celsius selain Greece juga sedang diselubungi haba.

Di Perancis, suhu tinggi dan kemarau mengakibatkan ancaman kepada industri perladangan, menyebabkan Menteri Pertanian Marc Fesneau turut menerima kritikan daripada pakar klimatologi pada Sabtu kerana menyifatkan keadaan itu sebagai cukup biasa untuk musim panas.

Bulan Jun adalah yang kedua paling panas dalam rekod di Perancis, menurut agensi cuaca negara, dan beberapa kawasan di negara itu berada di bawah amaran gelombang haba sejak Selasa.

Agensi meteorologi di Sepanyol pula memberi amaran pada Sabtu bahawa gelombang haba baharu diramalkan berlaku pada Isnin hingga Rabu dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius ke Kepulauan Canary dan wilayah selatan Andalusia.

Bahagian timur Jepun juga dijangka mencecah suhu 38 hingga 39 darjah Celsius pada Ahad dan Isnin, dengan agensi meteorologi memberi amaran ia boleh mencecah rekod tertinggi sebelumnya.

Rakyat Amerika pula sudah mengalami gelombang haba yang kuat menjangkau dari California ke Texas, dengan kemuncaknya dijangka hujung minggu ini.

Di Arizona, satu daripada negeri yang paling teruk dilanda panas, penduduk seharian menahan teriknya matahari.

Ibu negeri Phoenix mencatatkan untuk 15 hari berturut-turut, suhu di atas 43 darjah Celsius dengan pada Sabtu dijangka mencapai jauh melebihi paras itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 10:34 AM