PENYELAMAT mencari mangsa selepas peluru berpandu jatuh di atas restoran dan beberapa rumah di Kramatorsk, timur Ukraine. FOTO AFP
PENYELAMAT mencari mangsa selepas peluru berpandu jatuh di atas restoran dan beberapa rumah di Kramatorsk, timur Ukraine. FOTO AFP
AFP

Kramatorsk, Ukraine: Angka kematian akibat serangan peluru berpandu Rusia yang jatuh di atas sebuah restoran di timur Ukraine, pada Rabu, meningkat kepada 11 orang.

Mangsa termasuk tiga kanak-kanak.

Jumlah kematian itu direkodkan ketika Kremlin menegaskan tentera Rusia hanya menyasarkan sasaran yang berkaitan dengan tentera.

Tiga kanak-kanak antara yang maut dan sekurang-kurangnya 56 individu cedera dalam serangan di restoran Ria Pizza di bandar Kramatorsk.

Restoran itu popular dalam kalangan tentera dan wartawan di salah satu bandar terbesar yang masih di bawah kawalan Ukraine di timur negara itu.

"Mayat 11 mangsa termasuk tiga kanak-kanak ditarik keluar dari runtuhan. Seramai 56 mangsa cedera, termasuk seorang kanak-kanak," kata perkhidmatan kecemasan Ukraine di media sosial.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, seorang individu yang menjadi dalang serangan itu ditahan.

"Sesiapa yang membantu pengganas Rusia dalam pembunuhan itu berhak menerima hukuman maksimum," katanya.

Doktor tentera, Galyna berkata, dia berada berhampiran restoran itu ketika premis berkenaan diserang.

'"Kami berada di sebuah pangsapuri dan kami mendengar letupan.

"Ia mengerikan...," katanya, sambil menambah terdapat ramai yang cedera di dalamnya.

Bagaimanapun, Moscow menegaskan bahawa ia hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan di Ukraine.

"Serangan hanya dilakukan pada objek yang dikaitkan dengan infrastruktur ketenteraan,

"Persekutuan Rusia tidak melakukan serangan ke atas infrastruktur awam," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 11:51 AM