GREECE dikatakan tidak menjawab tawaran bantuan udara Frontex untuk memantau kapal pendatang sebelum karam. FOTO Fail AFP.
GREECE dikatakan tidak menjawab tawaran bantuan udara Frontex untuk memantau kapal pendatang sebelum karam. FOTO Fail AFP.
Agensi

Athens: Selepas berdepan kritikan meluas berhubung caranya menangani bot pendatang yang karam bulan ini, Greece kini dituduh tidak menjawab tawaran menghantar pesawat bagi memantau kapal itu.

Seramai 82 orang disahkan maut dalam kejadian minggu lalu, tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kemungkinan 500 orang mati lemas.

Pada Sabtu, BBC memetik agensi sempadan EU, Frontex sebagai berkata, bot pendatang itu telah dikesan satu daripada pesawatnya sebagai "hampir tidak bergerak dalam beberapa jam sebelum ia terbalik" yang bercanggah dengan dakwaan Greece bahawa kapal itu berada dalam "laluan yang selamat dan stabil."

Menurut laporan itu, Frontex menawarkan untuk menghantar pesawat bagi memantau kapal berkenaan tetapi tidak menerima jawapan daripada pihak berkuasa Greece.

Bot yang sesak itu dipercayai berlayar dari Libya dan dikesan buat kali pertama pada awal pagi, 13 Jun menuju ke Greece.

Pihak berkuasa Greece pula berkata, kru bot itu memberitahu pengawal pantai bahawa mereka menuju ke Itali, selain meminta ditinggalkan sendirian.

Pihak berkuasa itu juga menafikan tidak bertindak pantas untuk mengelak tragedi berkenaan, namun enggan mengulas dakwaan Frontex mengenai tawaran bantuan udaranya.

Berdasarkan analisis laluan kapal lain pada hari itu, BBC melaporkan bot pendatang itu hampir tidak bergerak selama hampir tujuh jam sebelum terbalik kira-kira 80 kilometer dari Pylos, sebuah bandar pantai di Greece.

Lebih 100 orang dikatakan sempat diselamatkan, sementara mereka yang terselamat memberitahu terdapat lebih 700 orang di atas kapal, termasuk 100 kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri Pakistan memberitahu ada lebih 350 warga negaranya di atas kapal, manakala laporan media mendakwa terdapat juga penumpang Mesir dan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 11:17 AM