Reuters

Milan: Kawasan perairan di terusan utama Venice berhampiran jambatan Rialto bertukar hijau pendarfluor pada Ahad dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesan punca, kata jabatan bomba Itali.

Agensi perlindungan alam sekitar serantau telah menerima sampel air dan sedang berusaha untuk mengenal pasti bahan yang mengubah warnanya, kata jabatan itu dalam Twitter.

Pihak berkuasa Venice telah mengadakan mesyuarat tergempar pasukan polis untuk memahami apa yang berlaku dan mengkaji kemungkinan tindakan balas, lapor agensi berita Ansa.

Insiden itu dikaitkan dengan beberapa episod baru-baru ini di Itali di mana kumpulan aktivis alam sekitar telah mewarnakan monumen, termasuk menggunakan arang sayuran untuk menjadikan air pancut Trevi di Rom berubah hitam sebagai protes terhadap bahan api fosil.

Bagaimanapun, tidak seperti kes sebelum ini, tiada kumpulan aktivis tampil mengaku bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Venice.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:14 PM