IMEJ Zelenskiy dipancarkan pada bangunan Kedutaan Rusia ketika protes ‘Hentikan perang Rusia-Ukraine’. FOTO Reuters
IMEJ Zelenskiy dipancarkan pada bangunan Kedutaan Rusia ketika protes ‘Hentikan perang Rusia-Ukraine’. FOTO Reuters

Reuters

Kyiv: "Kami akan kalahkan semua orang". Demikian mesej Presiden Ukraine Volodymyr Zeleskiy sempena ulang tahun pertama perang Ukraine - Rusia kepada rakyatnya semalam.

Pada 24 Februari tahun lalu, Rusia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine yang menjejaskan jutaan orang termasuk 30,000 orang awam terbunuh, dan 30,000 cedera sejak perang meletus.

Zeleskiy, dalam video yang bertajuk 'tahun yang kebal' menunjukkan beliau duduk di meja sambil mengimbau kembali bagaimana dia bercakap dengan rakyatnya setahun lalu.

"Setahun yang lalu pada hari ini, tempat yang sama kira-kira jam 7 pagi, saya bercakap dengan anda dengan satu kenyataan ringkas berdurasi hanya 67 saat.

"Kita kuat. Kita bersedia untuk apa sahaja. Kita akan mengalahkan semua orang. Beginilah ia bermula pada 24 Februari 2022. Hari terpanjang dalam hidup kita, hari paling sukar dalam sejarah," kata Zelenskiy.

Menurut Zelenskiy, pihaknya menjadi satu tentera yang besar sehingga membentuk pasukan dan menyifatkan 2022 sebagai tahun yang kuat, berani, sakit dan perpaduan.

"Kesimpulan utamanya ialah kami terselamat. Kami tidak dikalahkan dan kami akan melakukan segala-galanya untuk menang tahun ini!," katanya.

Sementara itu, Pegawai Tentera Barat menganggarkan lebih 100,000 orang terbunuh akibat konflik kedua-dua negara di Eropah berkenaan sejak Perang Dunia Kedua.

Puluhan ribu orang awam turut terkorban, manakala berjuta-juta lagi melarikan diri daripada ancaman pertempuran.

Pemimpin kedua-dua negara berkenaan tidak menunjukkan tanda mahu berundur dan peluang untuk menamatkan pertempuran dalam masa terdekat.

Aturan ekonomi dan geopolitik global secara asasnya berubah akibat gangguan terhadap rantaian bekalan termasuk makanan dan bijirin serta krisis tenaga di Eropah selepas Rusia memotong bekalan gas sebagai tindak balas terhadap sekatan ekonomi yang dikenakan Barat ke atas Moscow.

Konflik dua negara itu turut mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan, dengan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih lapan juta melarikan diri dari Ukraine setakat ini.

Sementara, kira-kira 5.9 juta rakyatnya menjadi pelarian dalam negara sendiri dan lebih 17.6 juta lagi memerlukan bantuan kemanusiaan.

Menurut laporan terkini, Amerika Syarikat adalah penyumbang bantuan ketenteraan terbesar kepada Ukraine, dengan jumlah sumbangan sejak permulaan perang kini mencecah AS$29.8 bilion (RM132 bilion).

United Kingdom pula penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan berjumlah 2.3 bilion euro (kira-kira RM10.8 bilion), manakala Kesatuan Eropah (EU) memberikan bantuan berjumlah 3.6 bilion euro (kira-kira RM16.9 bilion).

Berucap di parlimen Rusia yang juga dikenali sebagai Perhimpunan Persekutuan pada Selasa, Presiden Vladimir Putin berkata, semakin banyak senjata jarak jauh yang dibekalkan Barat kepada Ukraine, semakin sukar Rusia mengalihkan ancaman itu dari sempadannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 11:49 AM