PETANI menunjukkan bijian gandum yang dituai. FOTO AP
PETANI menunjukkan bijian gandum yang dituai. FOTO AP
BERNAMA

Rom: Kenaikan harga tenaga dan baja yang berpunca daripada konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine menyebabkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus ke atas harga makanan global pada 2022 berbanding tahun sebelumnya, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA), lapor Xinhua.

Pada 2022, subindeks agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan harga bijirin menokok 17.9 peratus daripada 2021, harga minyak sayuran meningkat 13.9 peratus, tenusu (19.6 peratus), daging (10.4 peratus) dan gula (4.7 peratus).

Penurunan pada Disember sebahagian besarnya didorong oleh penyesuaian fungsi pasaran dengan gangguan pengedaran, peningkatan harga pengangkutan dan penurunan tahap permintaan yang berpunca daripada pertumbuhan lembab ekonomi global.

Harga bijian dan bijirin menunjukkan 1.9 peratus lebih rendah, harga daging 1.2 peratus lebih rendah, harga minyak sayuran menyusut 6.7 peratus, harga tenusu 1.1 peratus lebih tinggi dan harga gula 2.4 peratus lebih tinggi untuk bulan ke bulan pada Disember.

FAO sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa kenaikan harga makanan mengancam keselamatan makanan global terutamanya di negara miskin.

"Adalah penting untuk terus berwaspada dan mengekalkan fokus untuk mengurangkan ketidakjaminan makanan global memandangkan harga makanan dunia kekal pada paras tinggi dengan banyak makanan ruji menghampiri rekod tertinggi.

" Harga beras meningkat dan masih banyak risiko yang berkaitan dengan bekalan masa depan," kata Ketua Pakar Ekonomi FAO Maximo Torero dalam satu kenyataan.

Indeks Harga Makanan adalah berdasarkan harga seluruh dunia untuk 23 kategori komoditi makanan meliputi harga untuk 73 produk berbeza berbanding tahun asas. Indeks FAO seterusnya dijadualkan dikeluarkan pada 3 Februari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:47 PM