EMMANUEL Macron. FOTO fail Reuters
EMMANUEL Macron. FOTO fail Reuters
AFP

Paris: Perancis menawarkan kondom percuma kepada individu berusia 18 hingga 25 tahun bagi mencegah kehamilan dalam kalangan anak muda.

Presiden Emmanuel Macron berkata, kondom akan disediakan secara percuma di semua farmasi.

"Kondom percuma untuk golongan berusia 18 hingga 25 tahun adalah usaha mengurangkan kehamilan yang tidak diingini.

"Ia adalah revolusi kecil untuk mencegah kehamilan," katanya semasa perdebatan kesihatan dengan golongan muda di Fontaine-le-Comte, pinggir bandar Poitiers, barat Perancis, semalam.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan mula menawarkan kawalan kelahiran percuma tahun ini untuk semua wanita di bawah usia 25 tahun.

Ia memperluaskan skim yang menyasarkan individu 18 tahun untuk memastikan mereka tidak berhenti mengambil alat pencegahan hamil berikutan tidak berkemampuan.

Kondom diterima pakai sistem penjagaan kesihatan negara bertujuan untuk memerangi penularan Aids dan penyakit kelamin lain.

Dalam pada itu, Macron berkata, beliau memakai pelitup muka pada program itu kerana mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 menjelang musim cuti.

"Tidak semestinya mahu kembali kepada mewajibkan pemakaiannya, tetapi saya rasa adalah baik menunjukkan contoh kerana kita berdepan dengan penularan baharu wabak itu (kes meningkat)," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat sesak dan mendapatkan suntikan penggalak vaksin Covid-19 ketika cuti musim sejuk semakin hampir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 12:22 PM