SULTAN Kosen. FOTO Agensi
SULTAN Kosen. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Lelaki tertinggi di dunia 'membawa diri' ke Florida, Amerika Syarikat (AS) selepas misi cari jodoh di Rusia, tidak berhasil.

Daily Star melaporkan, Sultan Kosen, 39, sebelum ini mengembara dari Turkiye ke Rusia untuk mencari isteri yang sanggup melahirkan anak lelaki dan perempuan.

Petani Turkiye berketurunan Kurdish setinggi 251 sentimeter (sm) itu sebelum ini terbabit mempromosikan negara asalnya sebagai duta bagi pihak pelancongan.

Sejak mengambil alih peranan mempromosikan negara, pemegang Rekod Dunia Guinness (GWR) itu sudah melawat 127 daripada 195 negara di dunia.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Sultan memberitahu dia mahu pasangan dari Rusia yang mampu melahirkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

"Saya ingin membawa isteri saya pulang ke Turki. Saya tinggal di tempat bersejarah, di tenggara, tetapi agak jauh dari laut. Saya dengar wanita Rusia suka lelaki yang tampan dan sopan. Ia sepatutnya mudah.

"Seorang wanita Rusia yang jatuh cinta akan memuja lelakinya selama-lamanya," katanya.

Sultan sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Syria setinggi 175 sm bernama Merve Dibo yang 10 tahun lebih muda daripadanya, pada 2013.

Dalam temu bual, Sultan sebelum ini mendedahkan masalah terbesarnya dengan isteri adalah komunikasi kerana dia bertutur dalam bahasa Turki, manakala bekas isterinya bercakap Bahasa Arab.

Di sebalik masalah komunikasi, perkahwinan itu bertahan beberapa tahun sehingga pasangan itu berpisah.

Selepas kembali solo, Sultan pergi ke Moscow untuk mencari pengganti pada awal Disember tahun lalu, selepas mendengar wanita Rusia memiliki kecantikan yang luar biasa dan penyayang.

Oleh kerana usahanya mencari jodoh tidak berhasil, Sultan kini meneruskan pengembaraannya ke AS bagi menghadiri festival di Florida tanpa menyebut mengenai misi mencari cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 11:52 AM