AKTIVIS menghalang pesawat peribadi berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO Reuters
AKTIVIS menghalang pesawat peribadi berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO Reuters
Reuters

Amsterdam: Ratusan aktivis alam sekitar mengerumuni pesawat peribadi di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, sebagai sebahagian daripada bantahan di lapangan terbang itu, baru-baru ini.

Aktivis menghentikan beberapa pesawat daripada berlepas dengan duduk di hadapan roda.

Penerbangan komersial bagaimanapun tidak ditangguhkan.

Kumpulan alam sekitar Greenpeace dan Extinction Rebellion menganjurkan demonstrasi untuk membantah pencemaran industri penerbangan dan pelepasan gas rumah hijau serta pencemaran bunyi, menurut organisasi itu.

Penunjuk perasaan juga mengadakan bantahan di dewan utama lapangan terbang dan membawa papan tanda bertulis 'Hadkan Penerbangan' dan 'Lebih Banyak Kereta Api'.

Polis tentera dalam satu kenyataan berkata, mereka menahan beberapa orang yang berada di lapangan terbang tanpa kebenaran.

"Kami berkempen untuk menghentikan pencemaran berskala besar di (lapangan terbang) Schiphol selama bertahun-tahun dan dengan alasan yang kukuh.

"Pengendali lapangan terbang sepatutnya mengurangkan pergerakan penerbangannya, tetapi sebaliknya ia sedang membina terminal serba baharu.

"Golongan elit menggunakan lebih banyak jet peribadi berbanding sebelum ini, yang juga menyumbang punca pencemaran," kata Dewi Zloch dari Greenpeace Belanda dalam satu kenyataan.

Greenpeace berkata, Schiphol adalah sumber terbesar pelepasan karbon dioksida di Belanda dan dilaporkan mengeluarkan lebih 12 bilion kilogram gas itu, setiap tahun.

Lapangan terbang itu bertindak balas kepada demonstrasi iklim dengan mengatakan ia akan menyasarkan untuk menjadi bebas pelepasan menjelang 2030 dan ia menyokong sasaran untuk keseluruhan industri mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Kerajaan Belanda dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada untuk memasukkan trafik jet peribadi dalam dasar iklimnya.

Kerajaan pada Jun mengumumkan rancangan untuk mengehadkan bilangan penerbangan keluar dari lapangan terbang Schiphol, Amsterdam kepada 440,000 setahun, bermula pada November 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 12:14 PM