ROBBIE Coltrane. FOTO fail  AFP
ROBBIE Coltrane. FOTO fail AFP
AFP

London: Pelakon kelahiran Scotland, Robbie Coltrane yang memegang watak Hagrid dalam filem Harry Potter meninggal dunia pada usia 72 tahun, semalam.

"Klien dan rakan saya, Robbie Coltrane meninggal dunia pada Jumaat 14 Oktober.

"Selain seorang pelakon yang hebat, dia bijak, pintar cerdas dan selepas 40 tahun berbangga sebagai ejennya, saya akan merinduinya," kata Belinda Wright dalam satu kenyataan.

Coltrane paling diingati di seluruh dunia sebagai Rubeus Hagrid dalam francais filem Harry Potter berdasarkan novel fantasi dengan judul sama hasil tulisan JK Rowling.

"Karakter itu membawa kegembiraan kepada kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia mendorong aliran surat peminat setiap minggu selama lebih 20 tahun," kata Wright.

Coltrane meninggalkan kakaknya, Annie Rae; anaknya, Spencer dan Alice serta ibu mereka, Rhona Gemmell.

Tiada butiran punca kematian, namun Wright mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan di Hospital Diraja Forth Valley di Larbert, tengah Scotland, atas penjagaan dan khidmat mereka.

Coltrane, yang dilahirkan sebagai Anthony Robert McMillan pada 30 Mac 1950 di Rutherglen, Glasgow menempa kerjaya sebagai pelakon, pelawak dan penulis.

Di televisyen, beliau membintangi siri mini BBC, Tutti Fruttibersama-sama Emma Thompson, yang meraih anugerah anugerah Bafta pada tahun 1987.

Beliau menjadi terkenal dan memenangi lebih banyak anugerah untuk penggambarannya sebagai ahli psikologi jenayah pemabuk Dr Eddie 'Fitz' Fitzgerald dalam siri ITV, Cracker antara 1993 hingga 2006.

Beliau memegang watak sebagai pengarang dan leksikograf Inggeris Samuel Johnson dalam siri komedi televisyen, Blackadder the Third bersama bintang Mr Bean , Rowan Atkinson dan Hugh Laurie (House).

Di layar perak, beliau juga berlakon dalam drama jenayah 'Mona Lisa' (1987)dan bekerjasama dengan bekas bintang Monty Python, Eric Idle dalam komedi tahun 1990, Nuns on the Run.

Beliau juga memainkan watak bekas ejen KGB yang bertukar menjadi bos mafia Rusia dalam dua filem James Bond iaitu Goldeneye (1995) dan The World Is Not Enough (1999), bersama-sama Pierce Brosnan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 9:54 AM