PAULA Tribbeck. FOTO Agensi
PAULA Tribbeck. FOTO Agensi
Agensi

London: Wanita di United Kingdom (UK) yang menyalahgunakan wang 90,000 pound sterling (kira-kira RM482,089) daripada badan amal kanser dan berjoli untuk membeli-belah dan bercuti, hanya diperintahkan mahkamah untuk membayar balik 1 pound sterling (kira-kira RM5).

Biarpun nilai itu amat rendah, wanita terbabit masih perlu menjalani hukuman penjara 24 bulan atas kesalahan berkenaan.

Paula Tribbeck, 48, bekas penyelaras kewangan di Wessex Cancer Trust, menyalahgunakan wang milik badan amal itu untuk menampung gaya hidup mewahnya.

Kecurigaan timbul apabila akaun milik badan amal yang sepatutnya ditutup itu kerana masalah kewangan itu, didapati masih aktif selepas menerima surat tuntutan bayaran untuk invois tertunggak.

Perbuatan wanita berusia 48 tahun itu akhirnya terbongkar pada 2019 apabila rakan sekerjanya memecah masuk ke pejabat dan menemui key fob atau token sekuriti yang digunakan untuk mengakses akaun bank milik badan amal berkenaan.

Tribbeck, yang mengakui bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, menangis ketika dijatuhi hukuman di Mahkamah Mahkota Southampton di Hampshire, baru-baru ini.

Sementara itu, peguam belanya, Chris Gaiger memberitahu mahkamah yang Tribbeck tidak mempunyai wang lagi untuk membayar balik denda selepas membelanjakan semua wang berkenaan.

Mahkamah diberitahu 93,800 pound sterling (kira-kira RM498,313) dipindahkan dari badan amal ke akaun peribadinya dalam tempoh enam tahun, dengan hanya 2,300 pound sterling (kira-kira 123,000) yang pernah dibayar balik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 11:29 AM