RUAM dan lepuh akibat cacar monyet. FOTO Reuters
RUAM dan lepuh akibat cacar monyet. FOTO Reuters
AFP

Paris: Pesakit cacar monyet di United Kingdom (UK) menunjukkan simptom berbeza daripada sebelumnya, demikian kajian pertama di UK yang mengetuai penyelidik meminta definisi penyakit itu dikemas kini.

Sehingga beberapa bulan yang lalu, cacar monyet sebahagian besarnya terhad di Afrika Barat dan Afrika Tengah, di mana wabak itu kebanyakannya disebabkan oleh manusia yang dijangkiti virus itu daripada haiwan seperti tikus.

Tetapi sejak Mei, lebih 3,400 kes direkodkan di seluruh dunia, sebahagian besar daripadanya di Eropah Barat dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dan tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan kes di negara rantau sub-Sahara di Afrika.

UK mengesan beberapa kes global baharu yang terawal, dan kajian pertama terhadap pesakit di sana diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases pada Jumaat.

Penyelidik menganalisis 54 pesakit cacar monyet di London iaitu semua lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki mewakili 60 peratus kes di UK pada 26 Mei.

Semua pesakit, kecuali dua orang, tidak menyedari mereka berhubung dengan seseorang yang menghidap cacar monyet.

Satu perempat daripada lelaki itu positif HIV dan satu perempat mempunyai penyakit menular seksual ketika mereka menghidap cacar monyet.

Semua pesakit mempunyai kecederaan kulit, di mana 94 peratus berada di kawasan kemaluan dan dubur.

Faktor ini menunjukkan virus disebarkan ketika sentuhan kulit ke kulit seperti ketika melakukan hubungan seks, kata kajian itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat kes ujian air mani yang positif untuk cacar monyet tetapi mengekalkan virus itu tidak ditularkan secara seksual dan disebarkan terutamanya melalui hubungan rapat.

Hanya 57 peratus kes di UK mengalami demam, berbanding 85 hingga 100 peratus kes wabak sebelum tahun ini.

Wabak sebelumnya juga menyaksikan lebih banyak luka pada anggota badan, muka dan leher.

Bagaimanapun, dalam tiga perempat daripada kes di UK, kecederaan hanya berlaku pada satu atau dua kawasan, kebanyakannya pada atau sekitar alat kelamin, kata kajian itu.

Pesakit di UK juga mempunyai kebanyakan gejala ringan yang berlaku kurang tiga hari dengan hanya lima daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Pengarang utama kajian Nicolo Girometti berkata, definisi di UK mengenai simptom cacar monyet menggambarkannya sebagai penyakit akut dengan demam "harus dikaji semula untuk menyesuaikan diri dengan penemuan semasa".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 11:47 AM