Askar Ukraine menaiki kenderaan berperisai dalam perjalanan ke barisan hadapan, di tengah-tengah pencerobohan Rusia di Ukraine, di Bakhmut di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO REUTERS
Askar Ukraine menaiki kenderaan berperisai dalam perjalanan ke barisan hadapan, di tengah-tengah pencerobohan Rusia di Ukraine, di Bakhmut di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO REUTERS
AFP

Zaporizhzhia (Ukraine): "Saya langsung tidak menyangka akan dapat melihat cahaya matahari lagi. Selama ini saya hanya terfikir untuk mati sahaja jika bom meletup (di kawasan bersembunyi). Saya tidak mahu menjadi cacat," kata Margarita, 23.

Wanita Ukraine itu meluahkan demikian selepas diselamatkan dari kilang keluli Azovstal di Mariupol yang berada di bawah pertempuran Rusia selama beberapa minggu.

Operasi kemanusiaan memindahkan ratusan orang awam terakhir yang terperangkap dalam kubu dan terowong di bandar itu berlangsung Sabtu, dengan pejuang Ukraine terus bertahan menentang kemaraan Rusia.

Bagaimanapun, untuk menyelamatkan diri, mereka perlu melalui tapak 'tapisan' Rusia yang mana beberapa mangsa memberitahu AFP bahawa mereka disoal siasat, digeledah, diambil cap jari dan telefon serta dokumen diperiksa sebelum dilepaskan.

Ia situasi berisiko buat Margarita yang bapa dan suaminya adalah anggota rejimen Azov paling kanan dalam pertempuran Azovstal dengan tentera Rusia.

Demi keselamatan, Margarita berkata, dia hanya bersikap jujur apabila disoal dan tidak mempertikaikan kaitannya dengan suami serta bapa kerana menganggap Rusia pasti mempunyai pandangan tersendiri mengenai ahli keluarganya.

Beberapa wanita lain yang diselamatkan pula berkata, mereka menjalani pemeriksaan badan yang dilakukan di dalam khemah oleh petugas wanita Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:01 AM