Latihan ketenteraan babitkan pasukan tentera di seluruh Eropah. FOTO EPA
Latihan ketenteraan babitkan pasukan tentera di seluruh Eropah. FOTO EPA
BERNAMA

Ankara: Pakatan tentera NATO pada Jumaat mengadakan latihan besar-besaran di seluruh Eropah, lapor Agensi Anadolu.

Dua daripada latihan terbesar, Swift Response dan Defense Europe, membabitkan kira-kira 18,000 tentera dari 20 negara, sedang berlangsung di Poland dan lapan negara anggota lain, menurut kenyataan NATO.

Sementara itu, di Estonia, 15,000 tentera dari 14 negara terbabit dalam latihan di Hedgehog yang turut menyaksikan pembabitan kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, Kearsarge.

Latihan Iron Wolf di Lithuania membabitkan 3,000 tentera bersekutu dan kira-kira 1,000 kenderaan, termasuk kereta kebal Leopard 2 Jerman.

Jurucakap NATO, Oana Lungescu berkata latihan itu dirancang sebelum operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Feb.

"Latihan itu menunjukkan bahawa NATO berdiri teguh dan bersedia untuk melindungi serta mempertahankan negara daripada sebarang ancaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 3:10 PM