ORANG awam menaiki basikal di Volnovakha, bandar dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO Reuters
ORANG awam menaiki basikal di Volnovakha, bandar dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine. FOTO Reuters
AFP

Kyiv: Kira-kira 1,300 tentera Ukraine terkorban sejak Rusia menyerang jirannya yang pro-Barat, kata Presiden negara itu, Volodymyr Zelensky pada Sabtu ketika tentera Moscow mengepung ibu negara.

Zelensky membuat pendedahan itu pada taklimat media yang kali pertama dibuat sejak pertempuran bermula.

Pada 2 Mac, Rusia memaklumkan kehilangan hampir 500 askar, tetapi tidak mengemas kini angka itu sejak itu.

Presiden Ukraine mendakwa bahawa Rusia kehilangan kira-kira 12,000 tenteranya.

"Ia 'nisbah satu hingga sepuluh, tetapi itu tidak menggembirakan saya'," katanya.

Tentera Rusia mengerahkan 150,000 askar untuk menjayakan misi pencerobohan Ukraine.

Penceroboh meningkatkan tekanan ke atas bandar ini pada Sabtu, menyerang kawasan awam di bandar lain di Ukraine, di tengah-tengah usaha baharu untuk mendapatkan bantuan kepada bandar pelabuhan Mariupol yang musnah.

Serangan Rusia memusnahkan lapangan terbang di Vasylkiv pada pagi Sabtu, kira-kira 40 kilometer di selatan bandar ini, manakala sebuah depoh minyak turut diserang dan terbakar, kata datuk bandar.

Pinggir bandar barat laut ibu negara, termasuk Irpin dan Bucha mengalami pengeboman selama beberapa hari, manakala kenderaan perisai Rusia sedang mara di pinggir timur laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 10:05 AM