GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Singapura: Singapura sedang membuat persediaan untuk memberi suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis PfizerBioNTech/Comirnaty kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada suku keempat tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, pihaknya sudah menerima cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 (EC19V) .

EC19V mengesyorkan kanak-kanak dalam lingkungan umur itu layak menerima satu dos penggalak, selepas lima bulan lengkap suntikan dos pertama dan kedua.

"Langkah ini juga bagi mengukuhkan persediaan kami untuk berdepan gelombang jangkitan seterusnya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan sudah melanjutkan penggunaan vaksin jenis Moderna's Spikevax Covid-19 melalui Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) kepada kanak-kanak, termasuk bayi berumur enam bulan hingga 5 tahun.

"Keputusan mengenai saranan vaksinasi terhadap kumpulan ini dijangka dicapai tidak lama lagi.

"Jika diluluskan, kami akan mengatur waktu yang sama dengan suntikan penggalak untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun," menurut MOH.

Dalam kenyataan berasingan, EC19V memaklumkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun disyorkan menerima vaksin PfizerBioNTech/Comirnaty kerana vaksin jenis itu memberikan perlindungan lebih kuat terhadap kemasukan ke hospital dan penyakit serius akibat Covid-19.

Sehingga Ogos 2022, kementerian memaklumkan lebih 1,000,000 dos penggalak sudah diberikan dengan selamat kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Amerika Syarikat di bawah saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:47 AM