GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Beijing: China meluluskan penggunaan kecemasan bagi vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak semuda tiga tahun, menjadikannya negara pertama menawarkan suntikan kepada kanak-kanak.

Jurucakap Sinovac berkata, vaksin yang dihasilkan sudah diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak.

"Vaksin Sinovac kini diluluskan untuk kegunaan kecemasan bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga remaja 17 tahun," katanya.

Namun, ia tidak memberikan sebarang pengesahan bila kanak-kanak boleh menerima vaksin berkenaan, dan mengatakan bahawa ia akan diputuskan Suruhanjaya Kesihatan Nasional berdasarkan keadaan pandemik di China dan bekalan vaksin.

Syarikat berkenaan sudah melengkapkan ujian fasa awal untuk vaksin kepada kanak-kanak dan remaja, dengan keputusan ujian akan diterbitkan dalam jurnal saintifik, Lancet tidak lama lagi.

Jurucakap bagi satu lagi pengeluar vaksin China, Sinopharm berkata, pakar sudah menjalankan demonstrasi untuk menentukan keberkesanan vaksin dalam kalangan kanak-kanak, namun tidak mengesahkan sama ada ia diluluskan untuk penggunaan meluas atau tidak.

Pegawai China berkata, ia merancang untuk memberikan suntikan kepada 70 peratus populasinya yang mencecah 1.4 bilion itu menjelang akhir tahun ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan vaksin Sinopharm dan Sinovac untuk kegunaan kecemasan dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas yang turut digunakan di beberapa negara lain.

Walaupun WHO tidak menggalakkan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak, beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Singapura dan Kesatuan Eropah meluluskan pemberian vaksin itu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:19 PM