THOMAS bersama ibunya. FOTO AGENSI
THOMAS bersama ibunya. FOTO AGENSI
Agensi

London: Tindakan seorang kanak-kanak di United Kingdom berusia tiga tahun mengagumkan apabila menghubungi talian kecemasan bagi menyelamatkan ibunya yang terjatuh selepas mempelajarinya dari siri kartun yang ditontonnya.

Thomas Boffey menghubungi talian kecemasan selepas mendapati ibunya Kayleigh Boffey, 33, tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari tangga di kediaman mereka di West Midlands, 12 November lalu.

Birmingham Mail melaporkan, kanak-kanak itu tahu menghubungi 999 selepas menonton animasi dari Korea Selatan iaitu Robocar Poli yang menampilkan watak kenderaan kecemasan seperti polis, ambulans dan bomba.

Thomas dikatakan memberitahu operator Morgane Amphle bahawa ibunya terjatuh tangga sebelum meletakkan telefon kepada ibunya yang dalam separuh sedar.

Kayleigh berkata, anaknya itu memanjat tingkap di ruang tamu untuk mengambil telefon dan berjaya menghubungi talian kecemasan.

"Mereka tidak memahami apa yang dilaporkan sebelum merujuknya kepada polis.

"Selepas menghubungi 999, dia memanjat pagar penghadang kanak-kanak dan membawa polis dan paramedik masuk ke rumah dan menunjukkan tempat saya terbaring," katanya.

Kayleigh berkata, dia mendapat rawatan di sebuah hospital kerana kecederaan lutut, buku lali, bahu dan pinggul, tetapi kini pulih.

"Saya sangat berbangga dengannya (anaknya). Sangat mengagumkan dia tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak berasa takut," katanya.

Ketua pasukan polis, Andy Beard berkata pengendali panggilan kecemasan, Morgane berjaya mengendalikan situasi berkenaan dengan baik.

Ia dalam usaha memastikan kanak-kanak lelaki itu tenang dan mampu mengumpul maklumat penting mengenai apa yang berlaku.

Dalam pada itu, Polis West Midlands turut menyiarkan sedutan audio Boffey ketika menghubungi 999 bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa mengajar anak mereka apa perlu dilakukan ketika kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:00 AM