RUSIA mula menguji pelancaran peluru berpandu dari kapal perang pada Julai. FOTO Agensi
RUSIA mula menguji pelancaran peluru berpandu dari kapal perang pada Julai. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Rusia mendakwa berjaya melancarkan peluru berpandu Tsirkon hipersonik dari kapal selam buat kali pertama.

Sky News melaporkan, Kementerian Pertahanan negara itu yang pada awalnya menguji senjata dinamakan sebagai Zircon dari kapal perang pada Julai lalu, mengatakan ujian kedua dilakukan di Laut Barents.

Rakaman video bermutu rendah yang dikeluarkan kementerian itu menunjukkan peluru berpandu dilancarkan dari kapal selam, menerangi langit malam dan permukaan air.

"Ujian tembakan peluru berpandu Tsirkon dari kapal selam nuklear dianggap berjaya," kata kementerian itu.

Sebahagian pakar Barat mempersoalkan seberapa maju senjata generasi baharu Rusia itu.

Tetapi dengan gabungan kelajuan dan kepantasan, peluru berpandu amat sukar untuk dijejaki dan dipintas.

Rakaman yang dikeluarkan pada Julai lalu itu mengenai sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara S-500 di negara itu nampaknya sengaja dikaburkan, sehingga sukar untuk diperiksa.

Tsirkon bertujuan diletakkan di kapal penjelajah, kapal frigat dan kapal selam Rusia.

Presiden Vladimir Putin mengatakan peluru berpandu itu mampu terbang dengan kepantasan sembilan kali ganda kelajuan bunyi dan boleh merangkumi jarak 1,000 kilometer.

Beliau menekankan penempatannya akan meningkatkan keupayaan ketenteraan Rusia secara signifikan.

Pemimpin itu mengumumkan rangkaian senjata hipersonik baharu dalam salah satu ceramahnya pada 2018.

Ia mengatakan pihaknya dapat menyerang hampir semua titik di dunia dan mengelak perisai peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS).

Pada Disember 2020, Putin mengatakan dalam satu persidangan tahunan bahawa Rusia sedang membangunkan senjata hipersonik sebagai tindak balas kepada perlumbaan senjata baharu yang dicetuskan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:02 AM