LEBIH 55.1 peratus individu dewasa di Jerman atau 45.8 juta orang, sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos. FOTO AFP
LEBIH 55.1 peratus individu dewasa di Jerman atau 45.8 juta orang, sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos. FOTO AFP
AFP

Berlin: Menteri Kesihatan Jerman berkata, individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 tidak perlu terikat dengan sekatan pergerakan penuh dan boleh bebas ke mana-mana berbanding mereka yang belum mendapat vaksin, sekiranya negara berkenaan mencatatkan peningkatan mendadak kes jangkitan.

"Selagi tiada mutasi yang menjejaskan perlindungan vaksin, ia bermakna mereka yang sudah menerima vaksin penuh tidak perlu disekat ke mana-mana," kata Jens Spahn kepada wartawan di Berlin.

Ketika ini, Jerman mencatatkan kadar jangkitan yang rendah dan telah melonggarkan banyak sekatan namun, masih bimbangkan penularan varian Delta.

Ketua kakitangan Angela Merkel, Helge Braun berkata, saintis setuju bahawa mereka yang sudah mendapat vaksin sebagai 'tidak berisiko dan tidak membahayakan orang lain'.

Katanya, individu yang sudah divaksin juga sepatutnya dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti termasuk menyertai konsert.

"Malah, kebanyakan sektor yang ditutup sebelum ini, tidak perlu lagi berbuat demikian selepas ini," katanya.

Lebih 55.1 peratus individu dewasa di Jerman atau 45.8 juta orang, sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lebih 37 peratus pula sudah mendapat kedua-dua dos.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 8:54 PM