PENGEMBARA menunggu penerbangan masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa St Louis Lambert, Missouri. Gambar sekadar hiasan. FOTO AFP
PENGEMBARA menunggu penerbangan masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa St Louis Lambert, Missouri. Gambar sekadar hiasan. FOTO AFP
AFP

Washington: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyat negara itu supaya tidak berkunjung ke Jerman dan Denmark berikutan peningkatan penularan Covid-19 di Eropah.

Jabatan itu mengeluarkan nasihat perjalanan Tahap 4 iaitu tahap tertinggi untuk kedua-dua negara, sekali gus menunjukkan tahap Covid-19 yang sangat tinggi di negara berkenaan.

Bakal pengembara juga diberi amaran akan ada sekatan yang menjejaskan kemasukan warga AS ke Denmark.

Kembalinya Eropah sebagai pusat wabak dikaitkan dengan program vaksinasi perlahan di beberapa negara selain penyebaran varian Delta yang mudah menular dan cuaca lebih sejuk.

Di Jerman, negara yang paling ramai penduduk di Eropah, merekodkan hanya 68 peratus penduduknya lengkap vaksin.

Negara itu menggesa semua individu dewasa yang diberi vaksin untuk mendapatkan suntikan dos penggalak untuk menangani keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan selepas enam bulan.

Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn dilaporkan memberi amaran bahawa majoriti rakyat Jerman perlu disuntik vaksin, dirawat hingga sembuh atau akan mati akibat Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan ini.

Amaran itu disuarakan beliau selepas kempen inokulasi kurang mendapat sambutan.

"Kemungkinan menjelang penghujung musim sejuk ini, mungkin agak sinis kenyataan saya, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, disembuhkan atau mati," katanya.

Canselor Angela Merkel memberi amaran, sekatan semasa di Jerman, termasuk menghalang individu tidak divaksin memasuki kawasan awam tertentu, masih tidak mencukupi.

Dengan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terisi dengan pantas, Jerman yang teruk terjejas akibat penularan Covid-19 mengarahkan perintah kawalan pergerakan baharu, termasuk penutupan pasar Krismas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 1:06 PM