AFP

Podgorica: Sindiket pengedaran dadah terkenal merancang menyerang Timbalan Perdana Menteri Montenegro sebagai usaha membalas dendam atas penangkapan beberapa anggota mereka.

Individu dipercayai ketua kumpulan itu dan lima rakannya ditahan pada Selasa lalu kerana disyaki terbabit dalam perang geng wilayah berhubung perdagangan kokain yang menyebabkan puluhan kematian sehingga ke Austria.

Timbalan Perdana Menteri Dritan Abazovic memuji penangkapan itu sebagai kejayaan terbesar dalam satu dekad untuk memerangi jenayah terancang.

Tetapi pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri mendedahkan perincian rancangan balas dendam yang dimaksudkan sindiket itu.

Mereka merancang membahayakan nyawa timbalan perdana menteri sebagai reaksi terhadap penangkapan dan pendakwaan anggota mereka kerana melakukan jenayah serius dan teratur.

Lelaki yang ditangkap semuanya dituduh sebagai anggota kumpulan yang beroperasi di luar bandar peranginan Kotor, dengan ketuanya, Slobodan Kascelan antara yang ditahan.

Mereka dituduh melakukan jenayah termasuk pembunuhan.

Waran dikeluarkan untuk lapan lagi anggota sindiket itu yang bertempur selama enam tahun dengan geng saingan untuk mengawal perdagangan kokain yang diseludup dari Amerika Selatan.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh di Montenegro, Serbia, Austria dan Yunani sebagai sebahagian daripada konflik itu.

Kumpulan jenayah terancang sudah lama bertapak di Montenegro yang menjadi transit untuk penyeludupan rokok dan dadah.

Geng tempatan dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah di Amerika Selatan, yang memberikan mereka dominasi untuk pembekalan kokain ke Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 11:10 AM