LAPANGAN Terbang Roissy Charles de Gaulle, Paris. FOTO EPA
LAPANGAN Terbang Roissy Charles de Gaulle, Paris. FOTO EPA
AFP

Washington: Pelancong dari Amerika Syarikat (AS) yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh melancong negara Kesatuan Eropah (EU), dalam beberapa bulan lagi.

Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen memberitahu perkara itu menerusi satu temu bual dengan The New York Times, pada Ahad.

Sambil memberi isyarat bahawa polisi EU itu adalah satu langkah besar kepada dunia, von der Leyen tidak memberi tarikh sebenar, tetapi memberitahu akhbar berkenaan, peraturan baharu itu mungkin dilaksanakan pada musim panas ini.

"Penduduk AS, setahu saya, menggunakan vaksin yang diluluskan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).

"Ini akan membenarkan pergerakan dan pelancongan untuk ke EU," katanya.

Menurutnya, semua 27 negara EU menyatakan secara jelas, untuk menerima tanpa syarat, mereka yang sudah menerima vaksin diluluskan oleh EMA.

EMA, yang menjadi agensi pengawal selia, sudah meluluskan tiga vaksin yang sebelum ini digunakan di AS iaitu Moderna, Pfizer dan Johnson & Johnson.

Pandemik Covid-19 menjejaskan pelancongan ke benua, dengan banyak negara menutup sempadan untuk pelancongan yang bukan keperluan.

Greece, pada minggu lalu, menyatakan bahawa pelancong dari negara EU dan lima negara lain yang sudah menerima vaksin atau negatif Covid-19 tidak lagi perlu menjalani kuarantin selepas ketibaan.

Negara itu menumpukan usaha untuk membuka semula sektor pelancongannya dan memperhebat program imunisasi Covid-19 untuk mewujudkan imuniti dalam kalangan penduduknya.

EU juga sebelum ini berkata mahu melancarkan pasport vaksin untuk pengembara, namun rancangan itu belum dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 9:26 AM