PENUMPANG beratur untuk memasuki pesawat ke China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan. FOTO AP
PENUMPANG beratur untuk memasuki pesawat ke China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan. FOTO AP
Reuters

London: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa mengesyorkan pengembara yang menaiki penerbangan jarak jauh untuk memakai pelitup muka.

Ia berikutan penularan pesat subvarian Omicron Covid-19 terbaharu di Amerika Syarikat (AS).

Di Eropah, subvarian XBB.1.5 dikesan dalam jumlah yang kecil tetapi semakin meningkat, kata pegawai WHO dan Eropah, pada taklimat media.

Sementara itu, pegawai kecemasan kanan WHO untuk Eropah, Catherine Smallwood berkata, penumpang dinasihatkan memakai pelitup muka dalam keadaan berisiko tinggi seperti penerbangan jarak jauh.

"Ini sepatutnya menjadi syor yang dikeluarkan kepada penumpang yang tiba dari mana-mana tempat di mana terdapat penularan Covid-19 yang meluas," katanya.

XBB.1.5 adalah subvarian Omicron paling mudah berjangkit yang dikesan setakat ini. Ia menyumbang 27.6 peratus daripada kes Covid-19 di AS untuk minggu berakhir 7 Januari, kata pegawai kesihatan.

Tidak jelas sama ada XBB.1.5 akan menyebabkan gelombang jangkitan globalnya sendiri.

Dalam pada itu, pakar memberitahu vaksin semasa terus melindungi daripada gejala teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.

"Negara perlu melihat asas bukti untuk ujian praperlepasan dan jika tindakan dipertimbangkan, langkah perjalanan harus dilaksanakan dengan cara yang tidak mendiskriminasi," kata Smallwood.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada Selasa, mengeluarkan cadangan untuk penerbangan antara China dan Kesatuan Eropah (EU).

Ia termasuk langkah bukan farmaseutikal untuk mengurangkan penyebaran virus.

Antara langkah itu adalah dengan memakai pelitup muka, menguji pengembara dan melakukan pemantauan air kumbahan sebagai alat amaran awal untuk mengesan varian baharu.

Agensi mengesyorkan ujian rawak juga boleh dijalankan ke atas sampel penumpang yang tiba dan pembersihan dipertingkatkan selain pembasmian kuman pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 11:25 AM