FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam meminta semua pihak supaya tidak panik berhubung pemerolehan vaksin Covid-19 kerana ia akan dibekalkan kepada semua yang mahukannya.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao berkata, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedang giat berusaha memastikan suntikan vaksin berkenaan dapat diakses di seluruh dunia.

"Tiada sesiapa yang perlu panik, kerana anda akan mendapat vaksin.

"Kami bertungkus lumus memastikan semua negara dan penduduk berpeluang untuk memperoleh vaksin itu," katanya.

Simao berkata, kira-kira 50 negara sudahpun memulakan kempen vaksinasi.

Usaha global diterajui COVAX bersama WHO bagi pemerolehan dan pengagihan vaksin memeterai perjanjian dengan lima syarikat pengeluar untuk mendapatkan dua bilion dos vaksin pandemik maut itu.

Ia mensasarkan jaminan pembekalan vaksin kepada 20 peratus penduduk di setiap negara peserta menjelang akhir tahun ini.

"Kami menjangkakan bekalan dos pertama tiba di negara berkenaan menjelang akhir Februari depan," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:37 AM