Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira 18 peratus penduduk Malaysia akan memperoleh manfaat daripada vaksin Sinovac Covid-19 yang sudah mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

"Pengiktirafan di peringkat global ini meningkatkan keyakinan kita kerana sebanyak 12 juta bekalan vaksin Sinovac akan memastikan bahawa 18 peratus penduduk kita mendapat manfaat daripada vaksin ini.

"Vaksin Sinovac kini sudah mendapat kelulusan WHO. Ia selamat dan berkesan," katanya menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Penolong Ketua Pengarah WHO bagi Akses Produk Kesihatan Dr Mariangela Simao berkata badan dunia itu, mengesahkan penggunaan vaksin Sinovac Covid-19 untuk kecemasan dengan memberi jaminan kepada negara, penyumbang dana, agensi pemerolehan dan masyarakat mengenai jaminan bahawa vaksin berkenaan menepati standard antarabangsa dalam aspek keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.

WHO, menerusi Penyenaraian Pengunaan Kecemasan (EUL), menetapkan mekanisme prasyarat untuk pembekal dan pemerolehan antarabangsa bagi Vaksin fasiliti COVAX, yang membenarkan sesebuah negara mempercepat kelulusan peraturan mereka sendiri untuk mengimport dan memberikan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 12:32 PM