GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Paris: Jumlah kematian akibat Covid-19 kini melepasi dua juta mangsa di seluruh dunia, semalam, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menggesa pelaksanaan vaksinasi besar-besaran bagi menyekat penularan pantas pandemik itu.

Berdasarkan rekod AFP setakat jam 18.25 petang semalam, sekurang-kurang 2,000,066 kematian akibat wabak itu disahkan.

Namun syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, dilapor memaklumkan penghantaran vaksin keluarannya akan menjadi perlahan bagi tempoh tertentu pada akhir bulan ini, sekali gus memberi tamparan kepada kempen imunisasi terbabit.

Semalam, WHO menggesa pelaksanaan vaksinasi itu dipercepatkan di seluruh dunia, selain usaha mengkaji jujukan virus berkenaan dipertingkat untuk menangani kemunculan varian baharu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media di Geneva berkata, dia mahu melihat vaksinasi dilaksanakan di setiap negara dalam tempoh 100 hari akan datang supaya petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi dapat dilindungi dahulu.

Secara global, jangkitan Covid-19 melonjak dengan purata 724,000 kes baharu sehari direkodkan sepanjang tempoh seminggu yang lalu, menurut penjumlahan AFP - naik 10 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Penularan di Amerika Latin dan Caribbean menyaksikan lonjakan ketara dengan bilangan kes meningkat 26 peratus, minggu ini.

Manakala di Eropah yang mencatatkan lebih 650,000 korban Covid-19, setakat ini, timbul kebimbangan bahawa penangguhan suntikan Pfizer akan melambatkan lagi pelaksanaan vaksinasi.

Pfizer memaklumkan bahawa negara Kesatuan Eropah dijangka berdepan kelewatan penghantaran bekalan terbabit dalam beberapa minggu akan datang atas faktor kerja di kilang pengeluarannya di Belgium.

Bagaimanapun syarikat itu berjanji, penghantaran bakal 'meningkat secara signifikan' pada Mac depan, manakala Suruhanjaya Eropah memaklumkan bahawa semua vaksin ditempah blok itu bagi suku pertama akan dibekalkan pada masanya.

Namun menteri dari Denmark, Estonia, Finland, Latvia, Lithuania dan Sweden dalam satu kenyataan bersama, menegaskan bahawa keadaan itu 'tidak boleh diterima' serta 'menjejaskan kredibiliti proses vaksinasi terbabit.'

Sementara itu, banyak negara memperketatkan sekatan bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Negeri di utara Brazil, Amazonas, turut mengumumkan perintah berkurung dari jam 7 malam hingga 6 pagi ketika sistem kesihatan di ibu kotanya, Manaus, sudah mencapai tahap genting.

Kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di hospital bandar itu telah mencecah 100 peratus sejak dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:21 AM