Petugas kesihatan menyuntik vaksin kepada penerima. FOTO AFP
Petugas kesihatan menyuntik vaksin kepada penerima. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mededahkan ada 'kemungkinan hubungan' antara vaksin coronavirus yang menggunakan teknologi mRNA dan radang jantung yang 'sangat jarang terjadi', tetapi manfaatnya masih melebihi risiko.

Kes miokarditis - keradangan otot jantung - dan perikarditis - keradangan lapisan di sekitar jantung - dilaporkan di beberapa negara terutamanya Amerika Syarikat (AS), kata Jawatankuasa Penasihat Global mengenai Keselamatan Vaksin (GACVS) badan kesihatan PBB itu.

"Kes yang dilaporkan biasanya berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas vaksinasi, lebih sering berlaku pada lelaki yang lebih muda dan lebih kerap selepas dos kedua vaksin Covid-19 mRNA," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, semalam.

Selepas meninjau data yang ada, GACVS menilai bahawa 'bukti semasa menunjukkan kemungkinan adanya hubungan antara miokarditis dan vaksin mRNA.

Namun katanya, manfaat vaksin mRNA Covid-19 melebihi risiko dalam mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

"Keradangan itu 'sangat jarang terjadi'," tambahnya.

Katanya, sebahagian besar kes miokarditis dan perikarditis berikutan vaksinasi adalah 'ringan' dan hanya memerlukan rawatan 'konservatif.

Pihak berkuasa perubatan AS bulan lalu memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan hubungan antara vaksin mRNA - seperti Pfizer dan Moderna - dan kes miokarditis dalam kalangan penerima yang lebih muda.

WHO menyatakan bahawa jawatankuasa farmakovigilance Badan Perubatan Eropah, yang mengesan kesan sampingan ubat-ubatan, juga telah melihat 'kemungkinan hubungan' yang boleh dipercayai dalam tinjauan data minggu ini berhubung kes terbabit.

Untuk rekod, miokarditis adalah penyakit yang jarang berlaku, dipercayai oleh pakar biasanya disebabkan oleh virus.

Sebilangan besar penghidap mengalami sakit dada, dan sering dirawat dengan ubat antiradang dan - jika diperlukan - oksigen tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 9:08 AM