Paparan pada skrin menunjukkan gambar cawan yang mengandungi sianida ditemui di hotel mewah di Bangkok. - FOTO Reuters
Paparan pada skrin menunjukkan gambar cawan yang mengandungi sianida ditemui di hotel mewah di Bangkok. - FOTO Reuters
Bernama-Dpa

Bangkok: Seorang wanita berusia 56 tahun dipercayai meracuni lima pelancong Vietnam dengan sianida yang dihidangkan dalam cawan sebelum meminum racun itu sendiri di sebuah hotel mewah di Bangkok, kata polis pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mayat tiga lelaki dan tiga wanita ditemui pada petang Selasa oleh kakitangan di suite Hotel Grand Hyatt Erawan di pusat bandar Bangkok.

Pemeriksaan pertama di tempat kejadian mendedahkan tiada kesan keganasan atau rompakan.

Pada Rabu, polis berkata dalam sidang akhbar mereka percaya salah seorang daripada enam pelancong, dua daripadanya juga memegang pasport AS, berada di belakang kematian itu.

"Kami ingin mengesahkan bahawa seorang daripada enam maut berpunca daripada sianida," kata Noppasil Poonsawas dari Biro Polis Metropolitan Bangkok. "Kami yakin salah seorang daripada enam yang melakukan jenayah itu."

Saudara-mara mereka yang maut mengesahkan bahawa terdapat pertikaian mengenai wang.

Polis menemui sisa bahan dalam cawan yang ditemui di tempat kejadian. Media tempatan telah pun membuat spekulasi bahawa bahan itu mungkin sianida.

Penyiasat juga mendapati pintu bilik itu telah dikunci dari dalam.

Hotel mewah ini terkenal dan terletak betul-betul di tengah-tengah Bangkok, di kawasan yang sangat popular.

Kes itu dengan cepat mencetuskan kekecohan di Thailand di tengah-tengah kebimbangan bahawa khabar buruk boleh merosakkan sektor pelancongan penting negara itu, yang baru bangkit semula berikutan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:56 PM