Qu Qu beri nasihat cinta kepada pengikut di media sosial.
Qu Qu beri nasihat cinta kepada pengikut di media sosial.
Agensi

Beijing: Seorang pempengaruh China yang didakwa pakar cinta, dikecam kerana menggalakkan pengikut wanitanya memilih pasangan kaya untuk meraih keuntungan mudah.

Qu Qu, atau nama sebenarnya Le Chuanqu terkenal kerana dianggap seorang pempengaruh kontroversi di China.

Bekas penyanyi itu beralih 'kerjaya' sebagai guru cinta dalam talian dan menawarkan khidmat nasihat hubungan dan janji temu kepada pengikutnya dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Apa yang membezakan Qu Qu daripada ramai guru lain ialah pandangan terbukanya mengenai hubungan sebagai 'pertukaran faedah' untuk dieksploitasi bagi menjana manfaat kewangan.

Menggelar dirinya sebagai McKinsey perhubungan, Qu Qu memberitahu peminatnya bahawa hubungan romantis dan perkahwinan adalah langkah mudah untuk meningkatkan taraf sosial dan kewangan.

"Semua perhubungan pada asasnya adalah mengenai pertukaran manfaat. Saya manfaatkan semuanya untuk meningkatkan kelebihan dan nilai diri saya," katanya.

Di sebalik nasihat kontroversinya itu, Qu Qu antara selebriti internet berjaya dengan pendapatan 142 juta yuan (RM91.30 juta) setahun.

Dia mengenakan caj 1,143 yuan (RM734.92) bagi setiap rundingan semasa penstriman langsung dan kursus popularnya berharga 3,580 yuan (RM2,301.85).

Bagaimanapun untuk servis peribadi, pakej dikenakan bermula 10,000 yuan (RM6,429.76).

Untuk mengelak ditahan pihak berkuasa dan melanggar peraturan siaran langsung di China, Qu Qu akan mencipta beberapa perkataan sendiri seperti merujuk perkahwinan sebagai 'dalam kubu', wang sebagai 'beras' dan kehamilan sebagai 'membawa bola'.

Pada Disember tahun lalu, Qu Qu diharamkan di Weibo kerana berulang kali mempromosikan pandangan mengenai hubungan yang tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:17 PM