BAYI yang dijual kepada pelanggan pada harga RM39,292.
BAYI yang dijual kepada pelanggan pada harga RM39,292.
Agensi

Beijing: Demi mendapatkan wang membeli dadah dan membayar hutang, satu pasangan di China ditahan selepas didapati menjual bayi mereka di Internet.

The Sun melaporkan suami isteri berkenaan menjual bayi mereka pada harga 60,000 yuan (kira-kira RM39,292).

Pembeli adalah suami isteri yang ditemui di forum dalam talian khusus untuk pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

Namun pasangan itu ditahan sebelum didakwa di mahkamah atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pemerdagangan bayi.

Difahamkan, pasangan dikenali sebagai Wang dan Zhong itu berurusan dengan pelanggan sebelum bayi mereka dilahirkan.

Berdasarkan laporan media tempatan, Wang dan Zhong yang menetap di Neijiang bertindak sedemikian kerana berdepan masalah kewangan.

Selain itu, mereka mahu menggunakan wang itu untuk mendapatkan bekalan dadah.

Malah, Zhong dilaporkan mengambil methamphetamine atau syabu sepanjang kehamilannya.

Siasatan mendapati selepas bayi itu lahir, Wang dan Zhong segera menyerahkan bayi mereka kepada pembeli yang tidak didedahkan identitinya.

Mereka juga mengaku menggunakan wang itu untuk membeli dadah dan dua telefon bimbit.

Ketika serbuan, polis menemui wang dipercayai hasil jualan bayi itu dan dadah di rumah pasangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:30 AM