PEKERJA memasang sangkar di Lop Buri pada Jumaat lalu untuk menangkap monyet dan mengeluarkannya dari bandar. FOTO Pejabat Perhubungan Awam Lop Buri/ Bangkok Post
PEKERJA memasang sangkar di Lop Buri pada Jumaat lalu untuk menangkap monyet dan mengeluarkannya dari bandar. FOTO Pejabat Perhubungan Awam Lop Buri/ Bangkok Post
Agensi

Bangkok: Sebanyak 73 ekor monyet ditangkap pada Jumaat lalu ketika operasi untuk membawa keluar haiwan itu dari bandar Lop Buri, menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP).

Bangkok Post melaporkan, lebih 50 orang menyertai operasi itu, yang dijadualkan berlangsung sehingga esok, menurut Veera Kunchairuk, Timbalan Ketua Pengarah jabatan berkenaan.

Sangkar dipasang di hadapan Hotel Asia, dari premis Seng Heng ke kedai emas Yongsawat, dan berhampiran bangunan bersebelahan dengan Taman Ratchanusorn.

Kakitangan jabatan itu berharap dapat mengumpulkan antara 200 dan 300 monyet di kawasan berkenaan bagi membantu mengurangkan populasi tempatan haiwan itu.

Kesemua haiwan yang ditangkap akan disterilkan sebelum dibawa ke Taman Monyet Lop Buri di daerah Muang.

Bandar Lop Buri dan kawasan sekitarnya kini menempatkan kira-kira 2,000 monyet.

Masalah haiwan yang mencuri makanan dan memusnahkan harta benda meresahkan penduduk tempatan sejak bertahun lamanya.

Kumpulan pertama 27 monyet yang ditangkap pada awal Mei dan kemudiannya dipindahkan ke taman monyet menunjukkan pengurangan tingkah laku agresif disebabkan makanan yang lebih baik, kata pegawai.

Jabatan itu merancang untuk meluaskan operasinya di bandar ini ke pusat beli-belah Manohra yang menjadi habitat hampir 500 monyet.

Menurut Veera, sebuah sangkar besar akan dibina untuk menempatkan haiwan itu di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Khao Somphot di daerah Chai Badan di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:09 AM